Ibnu Yunus ilmuan genius dalam bidang astronomi

Iklan
IBNU YUNUS mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu yang banyak menjelaskan persoalan-persoalan tentang pergerakan cakerawala.

SEBUT sahaja Ibnu Yunus, pasti ramai yang terpaku dengan kehebatan ilmuan Islam itu dalam bidang astronomi dan matematik. Kepakaran tokoh Arab Mesir berketurunan Yemen itu memang tidak boleh disangkal lagi, malah diperakui oleh ramai sarjana Islam dan Barat.

Masakan tidak, nama Ibnu Yunus telah diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan. Penamaan itu dicetuskan oleh seorang profesor dalam bidang astronomi dan falsafah, Joannes Baptista Riccioli dari Bologna, Itali pada tahun 1651 dan kemudian disahkan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa pada tahun 1976.

Iklan
Iklan

Menyingkap sisi peribadi pemilik nama Abu al-Hassan Ali Ibn Abdur-Rahman Ibn Ahmad Ibn Yunus Ibn Abdul A'la al-Sadafi, beliau datang daripada keluarga yang bukan calang-calang. Datuknya merupakan seorang ulama. Begitu juga dengan bapanya.

Hasil pembacaan Sinar Islam, kehidupan Ibnu Yunus sewaktu kecil tidak banyak yang diuar-uarkan. Menurut satu riwayat yang terkenal, Ibnu Yunus dilahirkan antara 950 dan 952 Masihi di Fustat, Mesir.

Iklan

Kemasyhurannya mula menonjol apabila tokoh itu menjalin hubungan rapat dengan Kerajaan Fatimiah di Mesir.

Ia bermula pada era Khalifah al-Aziz (995 Masihi) yang mengetuai kerajaan tersebut pada ketika itu.

Iklan

Pada zaman berkenaan, Ibnu Yunus diberikan tanggungjawab untuk menulis sebuah rajah penggerak cakerawala yang turut menjadi kegunaan Khalifah al-Aziz.

Kehandalannya semakin terserlah apabila diberi amanah untuk membina satu pusat kajian bintang di kota Kaherah.

Khidmat Ibnu Yunus dengan kerajaan berkenaan tidak terhenti setakat di situ sahaja. Ketika Khalifah al-Hakim menerajui kerajaan, beliau sempat mempersembahkan karyanya bertajuk Al-Zi Al-Hakimi Al-Kabir iaitu sebuah buku pegangan astronomi dengan jadual.

IBNU YUNUS

Ada riwayat mengatakan, Ibnu Yunus telah mengabdikan dirinya selama 30 tahun dalam bidang astronomi untuk kedua-dua khalifah berkenaan.

Sarjana Islam itu sememangnya terlalu hebat apabila dikatakan telah membuat lebih 10,000 catatan mengenai kedudukan matahari sepanjang tahun.

Selain menguasai ilmu falak, Ibnu Yunus dipercayai mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang-bidang ilmu yang lain. Bahkan, beliau juga seorang yang kreatif dan produktif.

Kaji pergerakan bulan, matahari

Sesungguhnya, kemasyhuran Ibnu Yunus dalam bidang astronomi memang sukar disangkal. Pun demikian, beliau dilihat lebih menonjol dengan kajian tentang pergerakan bulan dan matahari.

Apa tidaknya, lelaki intelektual itu berjaya memperoleh hasil penyelidikan yang banyak daripada kegiatannya di pusat penyelidikan yang dibangunkannya di Kaherah. Penemuan-penemuan tersebut telah digunakan untuk kajian perbandingan.

Selain itu, Ibnu Yunus yang merupakan seorang penyair turut mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu. Hasil ciptaannya itu banyak menjelaskan persoalan-persoalan tentang pergerakan cakerawala. Beliaulah juga merupakan individu pertama yang mereka cipta batu jam.

Menerusi karya tinggalannya Al-Ziji Al-Kabir, Ibnu Yunus memperkenalkan satu penemuan baharu berupa ayunan bandul. Alat itulah lazimnya digunakan untuk mengetahui detik-detik waktu ketika meneropong benda-benda di angkasa. Ia sama seperti ayunan bandul yang digunakan untuk jam dinding.

Reka cipta itu dikatakan lebih awal berbanding yang dilakukan oleh sarjana Barat, Galileo Galilie (1564-1642 Masihi) iaitu kira-kira 600 tahun sebelum itu.

Dalam karya Al-Ziji Al-Kabir itu juga, Ibnu Yunus melaporkan bahawa cerapan pertama yang dibuat oleh kaji bintang Islam adalah sejak abad ke-9 Masihi.

NAMA Ibnu Yunus diabadikan pada salah satu kawah yang ada di permukaan bulan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.

Selain itu, kitab beliau yang turut dikenali dengan nama Hakemite Astronomical Table tersebar luas ke seluruh dunia. Maka, tidak hairanlah ia menjadi rujukan ramai pihak kerana diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

Berdasarkan catatan sahih, rata-rata ilmuan dunia menyifatkan antara sumbangan terbesar Ibnu Yunus merujuk kepada kebijaksanaannya mengetengahkan tentang gerhana matahari dan bulan. Beliau dipercayai individu pertama di dunia yang berbuat demikian.

Keupayaan itu dinukilkan beliau sendiri menerusi kitab at-Ta'dil al-Muhkam. Beliau juga telah menghuraikan tentang ukuran solat, daftar bayang-bayang dan azimut matahari.

PROFIL

Nama: Abu al-Hassan Ali Ibn Abdur-Rahman Ibn Ahmad Ibn Yunus Ibn Abdul A'la al-Sadafi

Gelaran: Ibnu Yunus

Kepakaran: Astronomi dan matematik

Tahun kelahiran: 950 atau 952 Masihi

Tahun kematian: 1009 Masihi

Karya agung:

- Al-Zi Al-Kabir yang memperkenalkan penemuan berupa ayunan bandul untuk mengetahui detik-detik waktu meneropong benda-benda di angkasa.

- Kitab Al-Mikhail yang mengisahkan tentang matahari.

Sumbangan:

-Mencipta pelbagai kaedah penting dalam mengira kepantasan waktu.

- Mereka cipta batu jam.