Menilai sektor pertanian demi kemakmuran negara

Iklan
Nazaria (kanan) dan Haizir pada program Interviu bertajuk ‘Banci Pertanian, Kunci Kemajuan Pertanian' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - Banci Pertanian 2024 yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilaksanakan bermula 7 Julai hingga 10 Oktober 2024 bertujuan untuk memahami keadaan sebenar industri pertanian secara keseluruhan di Malaysia.

Timbalan Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, Nazaria Baharudin berkata, bancian kali keempat itu meliputi individu dan pertubuhan atau syarikat yang menjalankan aktiviti pertanian melibatkan tanaman, ternakan, perikanan tangkapan, akuakultur, perhutanan dan pembalakan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

"Kali pertama banci pertanian dilaksanakan adalah pada tahun 1960 melibatkan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Sarawak sebelum diperluaskan ke Sabah pada 1961.

NAZARIA

Iklan

"Pelaksanaan bancian tahun ini sejajar dengan resolusi Food and Agriculture Organisation (FAO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengesyorkan supaya semua negara melaksanakan Banci Pertanian dengan kekerapan sekali dalam tempoh 10 tahun.

"Negara Indonesia, Filipina, Thailand dan Sri Lanka melaksanakan banci pertanian dengan kekerapan 10 tahun sekali tetapi ada negara yang melakukannya setiap lima tahun sekali iaitu Australia, Kanada dan Republik Korea," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk 'Banci Pertanian, Kunci Kemajuan Pertanian' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu Nazaria menjelaskan, statistik pertanian merupakan data penting untuk digunakan di peringkat perancangan negara.

Justeru menurut beliau, unit statistik bagi sektor pertanian adalah pegangan pertanian yang merujuk kepada pertubuhan perniagaan, institusi dan isi rumah yang terlibat dalam sektor pertanian.

"Aktiviti pertanian merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan.

"Dianggarkan sebanyak 1.12 juta tempat kediaman dan 20,000 pertubuhan akan diliputi sepanjang bancian ini dilaksanakan.

Nazaria (kanan) dan Haizir pada program Interviu bertajuk Banci Pertanian, Kunci Kemajuan Pertanian' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

"Aktiviti ini akan melibatkan seramai 5,000 pembanci dan penyelia operasi di seluruh negara dan dianggarkan seorang pembanci boleh melengkapkan tiga hingga empat maklumat soal selidik sehari," jelasnya.

Cabaran bancian pertanian

Sementara itu, Nazaria turut mengakui aktiviti bancian akan menempuhi pelbagai cabaran namun optimis ia dapat dilaksanakan dengan baik.

Di peringkat DOSM, beliau berkata, agensi itu telah melaksanakan latihan terperinci meliputi 'training the trainer' hingga pembanci.

"Cabaran memang ada, kalau di Semenanjung secara amnya yang terlibat adalah pengusaha pertanian, jadi amat sukar untuk ditemui pada waktu bancian dijalankan iaitu pukul 9 pagi hingga 5 petang.

"Kalau di Sabah dan Sarawak pula, sudah pasti faktor geografi menjadi halangan kerana di kawasan pedalaman, kena naik perahu atau pacuan empat roda untuk sampai kepada sasaran," katanya.

Mengenai pemilihan mod pembancian, Nazaria memaklumkan ia mengikut kesesuaian kumpulan sasar mengikut kawasan yang dibanci.

NAZARIA

Menurutnya, Malaysia mengguna pakai kaedah temuramah bersemuka melalui 'Paper and Pen Interview' (PAPI) bagi Banci Pertanian 2024.

"Pelaksanaan mod pembancian ini adalah fleksibel dengan mengambil kira kebolehcapaian dan kesesuaian mengikut kategori responden.

"Tiga kategori borang soal selidik banci digunakan iaitu Borang AC1 melibatkan profil isi rumah, Borang AC2 untuk dapatkan perincian maklumat ahli isi rumah yang terlibat pertanian dan Borang AC3 bagi melaporkan aktiviti pertanian kendalian pertubuhan atau syarikat," jelasnya.

Manfaat pelaksanaan banci pertanian

Berbaki kurang dua bulan sebelum tarikh akhir Banci Pertanian 2024, Nazaria menjangkakan pengumpulan data dan prosesan dapat diselesaikan selewatnya penghujung Disember tahun ini.

Justeru menurut beliau, laporan bagi data pertama dijangka tersedia dan disiarkan pada suku pertama tahun 2025.

"Namun itu bukan satu sahaja maklumat yang akan terbitkan sebab kita ada perancangan untuk mengeluarkan beberapa siri penerbitan.

"Laporan pertama melibatkan keseluruhan dapatan, kemudian kita akan terbitkan yang lebih spesifik iaitu menjurus kepada tanaman, perikanan, perhutanan dan pembalakan serta ternakan," jelasnya.

Dalam pada itu Nazaria berpandangan, beberapa golongan bakal mendapat manfaat daripada laporan bancian tersebut termasuk pembuat dasar dan ahli akademik.

Ini kerana ujarnya, dapatan tersebut menyediakan statistik pertanian masa sebenar, komprehensif dan berguna kepada semua pihak.

"Selain itu golongan penyelidik dapat menjalankan kajian lanjut untuk menyumbang kepada pengetahuan dan teknologi baharu dalam sektor pertanian.

"Orang awam juga boleh mengetahui senario industri pertanian dan boleh akses data tersebut untuk mendapatkan manfaat," ujarnya.