JIKA dilihat pada usianya yang masih muda, Pauline Ului boleh dianggap antara prospek olahraga negara masa hadapan namun pada masa sama atlet berkenaan mempunyai cita-cita untuk menjadi anggota pasukan ‘Sang Saka Biru’.
Terpengaruh dengan drama bersiri Gerak Khas, atlet berusia 16 tahun yang meraih pingat emas acara lempar cakera wanita semalam berkata tujuan menjadi pegawai polis kerana impiannya untuk membasmi gejala penyalahgunaan dadah.
"Saya tidak fikirkan sangat mahu jadi atlet negara, cita-cita saya mahu jadi polis sebab mahu jaga negara dan keluarga. Mungkin saya akan terus jadi atlet sampai umur 21 tahun.
"Rasa mahu jadi polis timbul sebab banyak saya lihat ambil dadah terutama anak muda, saya nak pastikan rakyat Malaysia sihat dan jadikan negara lebih aman, damai dan selamat,” katanya ketika ditemui Bernama di Stadium Sarawak di sini.
Semalam, Pauline yang membuat debut Sukma mencipta kejutan selepas mendominasi saingan lempar cakera wanita selepas mencatatkan lemparan sejauh 38.50 meter (m).
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Long Bedian, Ulu Baram itu menewaskan Farhana Izurein Faizal Amizul dari Perlis di tempat kedua (38.41m) dan wakil Selangor, Sasha Alyssa Philip dengan catatan 37.62m ketiga.
Sementara itu, Pauline mengakui berasa lega selepas berjaya menyempurnakan misi menjadi penyumbang emas buat kontinjen Bumi Kenyalang.
"Motivasi saya (ketika beraksi) hanya nak sumbang emas buat Sarawak, apa yang buat saya semangat kerana saya percaya diri, selain sokongan daripada semua,” kata anak kelima daripada tujuh beradik itu. - Bernama