SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin tidak bersetuju Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
Menurutnya, meskipun tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri itu ketika kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Negggiri, Kelantan baru-baru ini namun, undang-undang itu dakwanya menindas dan tidak wajar digunakan.
"Saya sangat tidak bersetuju apabila beliau (Muhyiddin) disiasat apatah lagi didakwa di bawah Akta Hasutan.
"Saya tahu betapa zalimnya akta ini kerana saya pernah membela pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti (bekas menteri) Abdul Khalid Samad yang didakwa di bawah akta ini. Unsur-unsur penindasan dalam akta tersebut masih kekal," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sinar Harian melaporkan, pelbagai pihak terus menyelar Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa sengaja menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R) ketika berkempen pada PRK Neggiri baru-baru ini sehingga mencetuskan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Muhyiddin didakwa secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Mohamed Hanipa yang juga bekas Ahli Parlimen Sepang berkata, PH sebelum ini juga membantah akta zalim tersebut.
"Semasa saya menjadi Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah), PH juga tidak bersetuju dan kami berbahas menentang akta yang menindas tersebut," katanya.
Akta Hasutan 1948 ialah undang-undang era penjajah yang menjenayahkan ucapan yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Antara definisi kecenderungan menghasut dalam akta itu termasuk kecenderungan untuk membawa kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja-raja Melayu, kerajaan, atau pentadbiran keadilan, untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk berlainan, dan mempersoalkan sebarang keistimewaan, hak dan taraf yang ditetapkan atau dilindungi kepada orang Melayu, pribumi, dan Raja-raja.
Akta ini mula diperkenalkan oleh British pada 1948 dan kemudiannya dipinda selepas rusuhan 13 Mei 1969 untuk meluaskan skop batasan kebebasan bersuara.