Mula-mula perang mulut akhirnya bergaduh

Iklan
Video yang tular memaparkan pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran.

SEREMBAN - Bermula dengan pertengkaran mulut akhirnya telah membawa kepada pergaduhan yang menyebabkan seorang cedera dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tok Ungku di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian pada jam 11 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 17 tahun itu sedang berada di restoran berkenaan.

Iklan
Iklan

"Semasa mangsa berada di sebuah restoran itu, dia telah dipukul oleh dua rakannya berusia 16 dan 18 dengan menggunakan tangan dan kerusi di bahagian badan dan kepala.

"Mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di sini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, polis menerima laporan mangsa yang mendakwa dipukul dua rakannya pada Isnin dan video pergaduhan terbabit turut tular di media sosial pada Selasa.

Beliau berkata, punca pergaduhan dipercayai bermula dengan pergaduhan mulut berkaitan isu peribadi.

Iklan

"Suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan," katanya.

Sehubungan itu katanya, saksi kejadian diminta tampil memberikan keterangan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Sarjan Amram Ismail di talian 019-9661346.