Banjir kilat: Penduduk mahu tindakan segera

Iklan
Keadaan banjir kilat di Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh. Foto Facebook Mohd Sabri

KOTA BHARU - Penduduk Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh di sini menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi menangani masalah banjir kilat yang kerap melanda kampung itu bermula awal tahun ini.

Semalam, 10 rumah di kampung itu dinaiki air sekitar 5 petang selepas hujan lebat selama satu jam.

Iklan
Iklan

Penghulu Mukim Permatang Sungkai, Muhamad Abdul Hadi Mohd Ramli berkata, hujan lebat telah mengakibatkan parit, yang dibina syarikat pembinaan sebuah projek di situ, penuh dan melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

"Sudah enam kali kawasan berkenaan mengalami banjir kilat dengan kejadian terbaru dua minggu lepas, namun untuk kejadian semalam, paras air lebih tinggi berbanding sebelum ini menyebabkan lima rumah dinaiki air hingga paras pinggang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, penduduk berjaya menyelamatkan barangan berharga kerana telah membuat persiapan awal.

Menurut Muhamad Abdul Hadi banjir surut pada 8 malam selepas penduduk bergotong-royong membuat laluan air ke sungai menggunakan jengkaut.

Iklan

Kejadian banjir itu turut tular di media sosial malam tadi. - Bernama