Sinergi Kolej UNITI, LPPOM-MUI perkasa ekosistem halal

Iklan
DARI kiri, Muhamad Elyas, Amir Hamzah, Muti dan Muslich merakam kenangan selepas menandatangani dokumen persetujuan persefahaman di Bogor, Jawa Barat pada Selasa.

BAGI merancakkan usaha memperkasakan ekosistem dan agenda halal global, Kolej UNITI Port Dickson dan Lembaga Pengkajian Pangan, Obat-obatan dan Kometika Majlis Ulama Indonesia (LPPOM-MUI) menjalin kerjasama pada Selasa.

Kedua-dua pihak yang menandatangani memorandum persefahaman di Gedung Halal Global di Bogor, Jawa Barat, Indonesia itu akan berkolaboratif dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakal dan latihan berkaitan halal.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, kedua-dua pihak akan berkongsikan kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam bidang berkenaan.

"LPPOM-MUI pula bakal menawarkan kepakaran mereka dalam bidang penyelidikan mengenai halal dan perundingan berkaitan,” katanya selepas menyempurnakan majlis berkenaan.

Iklan

Pada acara itu, Amir Hamzah mewakili Kolej UNITI Port Dickson di samping Pengarah Pusat Kecemerlangan Halalnya (UHAC), Muhamad Elyas Harun, manakala LPPOM-MUI diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Muti Arintawati dan Pengarah Kerjasama Halal dan Perkhidmatan Audit, Dr Muslich.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, pemilihan Kolej UNITI Port Dickson disifatkan sebagai satu pengiktirafan memandangkan IPT itu merupakan Penyedia Latihan Halal yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Iklan

Menerusi sinergi itu, ia turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak meneroka pelbagai program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar dan menempatkan pelajar Kolej UNITI Port Dickson untuk menjalani latihan industri dalam bidang berkaitan.

Sebelum ini, terdapat lebih 20 pelajar Indonesia telah menamatkan pengajian dan ada yang masih mengikuti program Diploma Pengurusan Industri Halal di Kolej UNITI Port Dickson.