KUALA LUMPUR - Polis tidak pernah sesekali menutup atau menghentikan siasatan kes orang hilang (OH) yang masih belum ditemui.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebahagian besar kes OH yang dilaporkan adalah membabitkan golongan remaja.
"Individu (orang hilang) berkenaan disyaki dipengaruhi rakan menyebabkan mereka melarikan diri dari rumah," katanya selepas menghadiri Kursus Behavioral Science Unit (BSU) di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini pada Rabu.
Mohd Shuhaily berkata, sekiranya ada mana-mana ahli keluarga, waris atau kenalan yang mengesyaki adanya perbuatan jenayah berhubung orang hilang mereka diminta segera membuat laporan polis untuk tindakan susulan.
Beliau berkata, telah mengarahkan semua pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah untuk bertindak segera terutamanya terhadap mana-mana kes orang hilang yang membabitkan kanak-kanak.
"Ini kerana dalam satu jam yang pertama kes OH itu adalah amat penting untuk kita bertindak, bukan hanya satu jam, dalam setengah jam pun macam-macam benda boleh berlaku dan itu penting untuk kita (JSJ) bertindak cepat," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Kontinjen Johor dan JSJ Johor yang berjaya menyelamatkan kanak-kanak berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui di sebuah hotel di Batang Kali pada 23 Julai lalu.
Albertine dilaporkan hilang sekitar jam 8.30 malam pada 21 Julai, dalam satu festival kebudayaan Jepun di Johor Bahru.
Kes tersebut kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes culik selain lima individu termasuk seorang lelaki dalang utama yang melarikan Albertine ditahan.