KUCHING - Mayat salah seorang daripada tiga pelajar yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Kayan, Lundu, kira-kira 72 kilometer dari sini awal pagi semalam telah ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Rabu.
Pemangku Pengarah Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat Vilkie Wilson, 15, ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat di Kampung Selampit, berdekatan sungai itu, pada jam 11.58 pagi tadi.
"Mayat mangsa kelihatan terapung tidak jauh dari lokasi kejadian oleh orang kampung. Mayat akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan dan dibawa ke Hospital Lundu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Ling Hii berkata, cuaca hujan di sebelah pagi tadi sedikit sebanyak menyukarkan operasi SAR kerana arus sungai yang deras dan operasi SAR lebih tertumpu kepada pencarian permukaan terbuka dalam radius 3 kilometer (km) dari kawasan kejadian.
"Berdasarkan pemerhatian oleh pasukan skuba, keadaan tiada penglihatan dalam sungai dan arus deras, selain dikhuatiri kemungkinan ancaman binatang buas, maka pencarian melalui kaedah penyelaman ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.
Ling Hii berkata, operasi kini tertumpu kepada mencari dua lagi mangsa yang masih hilang iaitu Alsma Jithil, 14, dan Helena Fasha, 17.
Dalam kejadian 6.10 pagi itu, sebuah bot yang dinaiki oleh 20 orang telah karam di Sungai Kayan.
Seramai 16 mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi pelajar telah dihanyutkan oleh arus sungai sejauh satu kilometer dari lokasi kejadian sebelum berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung. - Bernama