Tikam kekasih 76 kali: Bekas pengawal keselamatan terlepas tali gantung

Iklan
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - Seorang bekas pengawal keselamatan yang didapati bersalah membunuh teman wanita dengan 76 tikaman pada 13 tahun lalu, terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Persekutuan di sini, pada Rabu menggantikannya kepada penjara selama 33 tahun.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan hukuman mati oleh Muhammad Faizul Mohd Ali, 32, selaku pemohon.

Iklan
Iklan

Ketika membaca keputusan, beliau berkata, mahkamah mengarahkan pemohon dipenjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 30 Disember 2011 dengan sebatan sebanyak 12 kali.

"Ini merupakan keputusan sebulat suara dan mahkamah menerima permohonan pemohon dengan mengetepikan hukuman gantung terbabit.

Iklan

"Ini kerana permohonan yang didengar ini, tidak termasuk dalam kes yang luar biasa,” katanya yang bersidang bersama Hakim-hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.

Semasa berhujah dalam permohonan semakan, peguam, Tamara Anthony yang mewakili Muhammad Faizul berkata, ketika kejadian, anak guamnya hanya berusia 19 tahun, menjadikan dia sebagai seorang pesalah muda.

Iklan

"Pemohon didapati menyalah gunakan dadah sejak berusia 13 tahun manakala ketika kejadian, dia berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Peguam ini berkata, Muhammad Faizul mendakwa telah mendengar suara halus, namun hanya disahkan mempunyai penyakit mental berkenaan, pada tahun 2018.

Susulan itu beliau memohon anak guamnya diberi hukuman penjara kerana dia bukan seorang penjenayah tegar selain tiada motif atau niat untuk membunuh mangsa.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku responden menghujahkan bahawa, 76 tikaman itu sangat brutal.

Bagaimanapun, beliau berkata, mengambil kira tahap kesihatan mental pemohon ketika ini, pihak responden mencadangkan dia dikenakan hukuman penjara selama 35 tahun dengan 12 kali sebatan.

Pada 17 Ogos 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi dua rakan, hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh Rozana Mohd Yusak, 35.

Hakim, Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Faizul dan Mohd Zal Haziq Razali, (ketika itu 27 tahun), selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Dua lelaki itu dituduh bersama-sama membunuh Rozana yang juga kekasih Muhammad Faizul, di rumah mangsa di Jalan Puncak Desa 2, Kepong, antara jam 12 tengah malam hingga 1.15 pagi, pada 21 Disember 2011.

Muhammad Faizul dan Mohd Zal Haziq dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pihak pendakwaan berkata, mangsa yang juga teman wanita tertuduh, ditikam berkali-kali dan mengalami kesan kecederaan dalaman serta luka selepas berlaku pergelutan.

Pada 29 Jun 2018, Mohd Zal Haziq terselamat daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Persekutuan melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh itu.