Empangan Nenggiri: TNB bayar RM10 juta pampasan kepada Orang Asli

Iklan
Muhamad Nazri (kiri) memberi penerangan pada Majlis Penghargaan dan Kerjasama Strategik Bersama Orang Asli Pos Tohoi dan Pulat di Gua Musang pada Rabu.

GUA MUSANG - Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar sebanyak RM10 juta sebagai pampasan kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan Empangan Nenggiri di sini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir Muhamad Nazri Pazil berkata, bayaran tersebut dibuat berdasarkan kerosakan serta kehilangan hasil tanaman dan ladang yang diusahakan oleh masyarakat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Seterusnya tunggu proses penempatan baharu akan ada pampasan lain juga," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Penghargaan dan Kerjasama Strategik Bersama Orang Asli Pos Tohoi dan Pulat di sini, pada Rabu.

Tuan Zainal Abidin (kiri) dan Sapiah (dua dari kiri) melihat reka bentuk penempatan baharu yang akan menempatkan masyarakat Orang Asli sebaik sahaja Empangan Nenggiri disiapkan.

Hadir sama merasmikan majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Sapiah Mohd Nor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pembangunan), Datuk Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Iklan

Menurut beliau, antara jenis pampasan lain yang diberikan ialah penempatan baharu seperti rumah, dusun, ladang getah termasuk kemudahan infrastruktur lain iaitu sekolah, surau, elektrik dan air.

Ujarnya, semua kemudahan tersebut sedang dalam proses dan akan dinikmati oleh masyarakat Orang Asli pada tahun 2026.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Muhamad Nazri memberitahu, pada masa ini kerja-kerja pembinaan penempatan semula di Plot A dan Plot B sudah mencapai kemajuan purata hampir 30 peratus manakala anak-anak pokok getah juga telah siap ditanam di sekitar penempatan semula.

TNB membayar sebanyak RM10 juta sebagai pampasan kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang.

Tambah beliau, projek hidroelektrik Nenggiri ini penting bukan sahaja untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga elektrik melalui sumber tenaga boleh baharu, tetapi juga memastikan kestabilan grid bekalan elektrik negara.

"Di samping menyiapkan projek tersebut, kami sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli Nenggiri," katanya.

Untuk rekod, projek Empangan Nenggiri dibangunkan dengan kos RM5 bilion bagi menjana 300 mega watt (MW) elektrik dan dijangka beroperasi mulai 2027 serta melibatkan pemindahan lebih 1,200 masyarakat Orang Asli.