Masalah nelayan sejak lebih 20 tahun selesai

Iklan
Razali (tengah) menyaksikan How Chai (tiga dari kiri) dan Mahadi (dua dari kanan) berjabat tangan menandakan masalah yang membelenggu kedua-dua pihak sejak lebih 20 tahun lalu telah selesai.

BAYAN LEPAS - Permasalahan antara nelayan pantai dengan nelayan pukat tunda di negeri ini yang berlarutan sejak sekian lama akhirnya berjaya diselesaikan.

Masalah pencerobohan bot nelayan pukat tunda ke kawasan di bawah 5 batu nautika merupakan masalah utama yang dihadapi nelayan pantai sejak lebih 20 tahun dahulu.

Iklan
Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, memandangkan masalah antara kedua-dua pihak tersebut tidak pernah diselesaikan, pihaknya mengambil pelbagai inisiatif antaranya mengadakan forum dan pertemuan untuk membincangkan permasalahan yang timbul.

Razali

Menurutnya, Persatuan Nelayan Pukat Tunda Pulau Pinang dan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) tidak pernah bersemuka sebelum ini untuk membincangkan masalah tersebut.

Iklan

"Ketegangan antara kedua-dua pihak sebelum ini dilihat tidak boleh dikawal lagi kerana mereka tidak pernah berjumpa dan berbincang. Kita tidak mahu, jika dibiarkan tanpa tindakan selanjutnya, ia akan menimbulkan masalah lain seperti kes jenayah.

"Oleh demikian, Maritim Malaysia Pulau Pinang mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah ini daripada berterusan. Dengan usaha ini, kita dapat menyelesaikan masalah sejak lebih 20 tahun lalu selesai dalam tempoh sebulan.

Iklan

"Saya mendapati, tiada komunikasi antara kedua-dua pihak telah menyebabkan masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan selain tiada bantuan daripada mana-mana pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di bangunan PenMutiara di sini pada Rabu.

Jelas beliau, sejak sebulan lalu, tiada kes pencerobohan kawasan nelayan pantai direkodkan di negeri ini.

"Sebanyak 131 kes direkodkan pada 2023 dan 23 kes sehingga Julai tahun ini. Bagaimanapun, sejak saya bertugas di sini April lalu, saya turun padang untuk mengetahui masalah yang timbul.

"Saya menyedari banyak masalah yang berlaku dalam kalangan komuniti nelayan di negeri ini antaranya berkaitan sangkar ikan, pencerobohan kawasan dan banyak lagi. Saya akan menyelesaikannya satu persatu dan hari ini, masalah pencerobohan bot pukat tunda ke kawasan kurang daripada 5 batu nautika sudah selesai," katanya.

Tambah Razali, Maritim Malaysia Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dan perjumpaan secara berterusan bagi memastikan masalah yang telah diselesaikan tidak berulang kembali.

"Kita sama-sama cari makan, oleh itu, saya mohon semua pihak beri kerjasama agar masalah ini tidak timbul lagi. Dari pihak kami, kita tidak akan berhenti di sini sahaja, kita akan pantau bagi memastikan isu ini selesai dan tidak akan berlaku lagi.

"Kalau boleh, saya tidak mahu mengambil tindakan undang-undang seperti sebelum ini kerana akan menyusahkan pihak komuniti nelayan. Sebab itu, saya mengambil pendekatan membawa kedua-dua pihak, duduk bersama dan berbincang," katanya.

Mahadi

Sementara itu, Pengerusi PenMutiara, Mahadi Md Rodzi berkata, pihaknya bersyukur kerana masalah yang sekian lama membelenggu nelayan pantai telah selesai.

Beliau turut berharap agar hubungan baik antara kedua-dua persatuan itu akan berterusan dan tiada sebarang isu berbangkit lagi selepas ini.

"Terima kasih kepada Maritim Malaysia Pulau Pinang terutamanya kepada Razali kerana prihatin dengan masalah yang kami hadapi sejak berpuluh tahun lalu.

"Hasilnya, kawasan yang paling terkesan adalah nelayan di Unit Sungai Pinang kini tiada lagi kes pencerobohan bot pukat tunda di kawasan berkenaan, malah hasil tangkapan nelayan di situ juga meningkat sejak sebulan lalu," katanya.

Tan How Chai

Pengerusi Persatuan Nelayan Pukat Tunda Pulau Pinang, Tan How Chai berkata, seramai 200 nelayan di bawah persatuan itu berjanji tidak akan menceroboh lagi ke kawasan di bawah 5 batu nautika.

"Kami berjanji tidak akan masuk ke kawasan nelayan pantai lagi.

"Terima kasih Maritim Malaysia Pulau Pinang kerana mengambil pelbagai usaha ini untuk menolong kami semua menyelesaikan masalah ini," katanya.