PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu, memerintahkan seorang bekas mekanik dihukum penjara 35 tahun kerana membunuh teman wanita dengan membakar bilik tidurnya, 10 tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan hukuman mati oleh Mohd Afizi Abdul Rahman, 37, untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya, selaku pemohon.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, mahkamah sebulat suara memerintahkan lelaki itu penjara bermula dari tarikh tangkap pada 22 Januari 2014 dan dikenakan 12 sebatan.
Beliau yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Rhodzariah Bujang dan dan Datuk Hanipah Farikullah berkata, kes itu tidak termasuk dalam kejadian luar biasa yang membolehkan mahkamah mengekalkan hukuman mati terhadapnya.
Semasa hujahan, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz membantah permohonan banduan akhir itu, kerana dia bukan sahaja telah meragut nyawa mangsa malah cuba membunuh dua kanak-kanak lain yang turut berada dalam bilik sama.
Bagaimanapun, peguam, Farida Mohammad yang mewakili pemohon berhujah, wujud provokasi antara Mohd Afizi dan kekasihnya sehingga membawa kepada pertengkaran.
"Ia tercetus daripada konflik hubungan cinta kedua-dua individu itu, manakala kecederaan yang membawa kepada kematian ialah disebabkan kesan bakar antara 66 hingga 82 peratus.
"Dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau malah dia insaf atas perbuatan yang dilakukan,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Afizi dituduh cuba membunuh Saliza Saidin, 29, anak-anak perempuannya yang ketika itu berusia dua tahun dan bayi dua bulan di flat kos rendah di Setapak Jaya, Sentul di antara 1 dan 1.30 pagi pada 21 Januari 2014.
Bagaimanapun, pada 18 Februari 2014, dia didakwa membunuh Saliza selepas wanitanya itu meninggal dunia pada 1 Februari 2014 akibat luka terbakar yang teruk, 11 hari selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mohd Afizi turut diperintah oleh Mahkamah Sesyen menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan cubaan membunuh kanak-kanak dan bayi itu.
Keterangan kes menyatakan, Mohd Afizi ke rumah si mati pada waktu Maghrib untuk mengajaknya keluar makan tetapi wanita itu menolaknya.
Mereka bergaduh sebelum lelaki itu beredar meninggalkan flat tersebut.
Ibu Saliza memberi keterangan bahawa dia nampak Mohd. Afizi datang semula ke flat itu kira-kira pukul 1.30 pagi dan masuk ke bilik anaknya sebelum melihat api membakar bilik tidur itu.
Dalam keterangannya, wanita tersebut berkata, Saliza telah memintanya menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak itu yang juga berada dalam bilik tersebut sementara mangsa merangkak keluar dari bilik.
Wanita itu kemudian melihat pemohon mengunci mereka bersama kanak-kanak dalam rumah tersebut dan mencampakkan kunci di luar pintu.
Mereka diselamatkan oleh orang ramai dengan mengopak bahagian pintu jeriji rumah tersebut sebelum dibawa ke hospital.