1MDB: Amhari pegawai awam yang korup - Peguam Najib

Iklan
Muhammad Shafee (kanan) yang mewakili Najib ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi anak guamnya di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin adalah pegawai awam yang korup kerana secara sedar menerima ‘pinjaman’ AS$200,000 daripada ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan perkara ini pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Najib (dua dari kiri) hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama

Iklan
Iklan

"Amhari mempunyai banyak sebab untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan bersubahat dengan Jho Low dan untuk menyalahkan Najib. Kredibiliti beliau (Amhari) boleh diselamatkan jika kesalahannya adalah berpunca daripada arahan atau kelulusan pihak atasannya, dan bukannya motif rasuah peribadi.

"Amhari muncul sebagai saksi dengan minda yang sudah diprogram, seolah-olah ‘satu cip telah diprogram dalam kepalanya’. Dia terpaksa berkata semua itu kerana dia telah menerima rasuah daripada Jho Low," kata peguam bekas perdana menteri itu.

Iklan

Pada 2019, Amhari memberi keterangan bahawa dia mengambil wang daripada Jho Low untuk membeli hartanah RM1.85 juta di Kota Damansara, Selangor. Malah dia mengaku tiada perjanjian ditandatangani antara dia dan Jho Low berhubung pinjaman itu.

Menyentuh mengenai penubuhan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang kemudiannya dinamakan sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Muhammad Shafee berkata Najib tidak pernah terlibat dalam penubuhan TIA.

Iklan

"Sekiranya Amhari telah menghadiri mesyuarat itu atas kapasiti rasminya sebagai pegawai khas Najib, tiada rekod atau minit dikeluarkan untuk membuktikan ia telah berlaku. Peserta lain dalam mesyuarat itu tidak dipanggil untuk memberi keterangan bagi mengesahkan kehadiran Amhari,” katanya.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan dengan hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama