Tidak puas hati asyik dimarahi, anak tikam ibu hingga mati

Iklan
Keadaan di lokasi kejadian di sebuah rumah di Seksyen 25 pada Selasa. Foto PDRM

SHAH ALAM - Gara-gara tidak puas hati kerana asyik dimarahi ibu, seorang anak sanggup menikam wanita itu sehingga maut di sebuah rumah di Seksyen 25 di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, wanita warga Myanmar berusia 40 tahun itu ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di dapur rumahnya.

Wanita warga Myanmar itu ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di dapur rumahnya. Foto PDRM

Iklan
Iklan

"Pihak polis telah menerima maklumat pada jam 5.49 petang berkaitan kejadian itu daripada seorang wanita yang juga jiran sebelah rumah apabila dimaklumkan oleh anak bongsu mangsa yang baharu pulang dari sekolah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Iqbal berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 4.30 petang, semasa mangsa seorang diri dipercayai sedang memasak di rumah sewa itu.

Iklan

"Wanita itu telah bergelut dengan suspek dan telah ditikam dengan senjata tajam, pemeriksaan tubuhnya menemui beberapa kesan tikaman," katanya.

Beliau berkata, bertindak di atas maklumat, suspek berusia 20 tahun yang juga anak sulung wanita itu ditahan pada jam 7.30 malam.

Iklan

"Kita turut menjumpai senjata pisau yang digunakan untuk menikam wanita itu di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak berpuas hati dengan ibunya kerana asyik memarahinya disebabkan masalah kewangan," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian suami mangsa berada di tempat kerja.

"Seramai lapan individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

"Hasil semakan mendapati suspek yang juga warga Myanmar tiada rekod jenayah," ujarnya.

Mohd Iqbal berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah mati lemas akibat ditekup dan mempunyai kesan tikaman di perut.

"Suspek direman tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051," katanya.