Final Piala FA pentas 'panas badan' sebelum Pestabola Merdeka

Iklan
Marti (tengah) bersama barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya. Foto Bernama

PERTEMBUNGAN Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC dalam aksi final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SSNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu amat signifikan buat skuad bola sepak kebangsaan.

Ia susulan daripada senarai 26 pemain yang dipanggil jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente sembilan pemain daripada kedua-dua pasukan akan beradu tenaga sesama mereka menjelang kempen Pestabola Merdeka awal bulan depan.

Iklan
Iklan

Penampilan tujuh pemain skuad Harimau Selatan dan dua dari pasukan Gergasi Merah mampu memberi impak positif buat skuad negara yang dalam misi mengintai peluang untuk merangkul trofi Pestabola Merdeka.

Pau Marti berharap mereka dapat memperagakan aksi terbaik buat kelab masing-masing dan meneruskan momentum positif aksi final tersebut ke dalam skuad Harimau Malaya.

Iklan

"Mereka yang dipilih merupakan pemain-pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang bersama kelab masing-masing,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan skuad Harimau Malaysia di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya pada Rabu.

Tujuh pemain JDT terdiri daripada penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Arif Aiman Mohd Hanapi, Feroz Baharuddin, Corbin Ong, Romel Morales dan Afiq Fazail, manakala dua dari Selangor FC ialah pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar dan Nooa Laine.

Iklan

"Selain itu mereka juga bebas kecederaan, namun perlu beraksi untuk kelab masing-masing terlebih dulu.

"Sebab itu juga kita ada senarai bersedia sekiranya sebarang kemungkinan berlaku, dan kita akan memantau bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik,” ujar Pau Marti.

Selain sembilan pemain itu yang meraih aksi kompetitif, lapan pemain dari Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC juga bakal diuji pada perlawanan antarabangsa bersama kelab masing-masing.

Pemain skuad penyu iaitu kapten, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Safwan Mazlan dan Azam Azmi Murad akan berdepan juara Liga Premier Kemboja CPL, Svay Rieng FC dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara 2024/25 di laman sendiri pada Rabu.

Kapten KL City, Poulo Josue bersama Azri Ab Ghani, Zhafri Yahya dan Haqimi Azim Rosli pula akan membantu skuad Warga Kota menentang kelab Filipina, Kaya FC-Iloilo dalam kejohanan sama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.

Turut berada dalam senarai 26 pemain ialah Dominic Tan, Darren Lok dan Daniel dari Sabah, selain dua pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Dua pemain yang berkelana di luar negara, Dion Cools (Buriram United) dan Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City FC) juga berada dalam senarai lain pemain Pulau Pinang FC, Adib Abdul Ra'op dan Syamer Kutty Abba.

Bagaimanapun nama pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim tiada dalam senarai bagi memberi masa dan peluang buat pemain itu menjalani proses pemulihan dengan baik.

Kesemua pemain dijadual melapor diri pada kem latihan pusat tersebut bermula 29 Ogos ini.

Pau Marti yang mengambil alih tugas Kim Pan-gon Julai lalu optimis barisan pemain yang dipanggil itu adalah yang terbaik.

Malah beliau teruja untuk menggalas tanggungjawab besar tersebut dan mahu membawa skuad negara ke peringkat lebih baik.

"Kami juga mahu membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi dan saya fikir masih ada banyak ruang untuk diperbaiki. Maka, tugas ini masih belum selesai.

"Kami amat berpuas hati dengan pemain-pemain ini dan percaya ini adalah barisan yang terbaik ketika ini yang mampu membantu skuad negara mencapai sasaran,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 menentang Filipina pada jam 9 malam 4 September, manakala satu lagi perlawanan menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama bermula jam 4.30 petang.

Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di final pada jam 9 malam 8 September, manakala dua pasukan yang tewas bertemu untuk perlawanan penentuan empat ketiga pada hari sama jam 4.30 petang.