KUALA LUMPUR - Belum ada petunjuk jelas bahawa ramai orang Melayu telah mula kembali mendukung UMNO, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, meskipun melakar kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, ia bukan tanda aras bagi pemulihan sepenuhnya UMNO.
Menurutnya, kejayaan di Nenggiri hanya permulaan kepada perjalanan jauh yang lebih getir dan mencabar.
"Pengajaran besar dari PRK tersebut ialah sokongan bangsa Melayu itu tidak pegun. Ia dinamik.
"Ia boleh beralih selari dengan kedinamikan calon, strategi dan isu yang ditampilkan.
"Hakikatnya, orang Melayu masih belum menunjukkan dengan jelas, bahawa mereka telah mula beramai-ramai, kembali mendukung UMNO," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini pada Rabu.
Beliau menambah, UMNO tidak boleh hidup dalam penafian dan lalai meskipun menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Ini kerana katanya, UMNO tidak mempunyai kuasa penuh tetapi hanya pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.
"Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam tanggungjawab kita, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap UMNO.
"Justeru, usaha memulihkan kepercayaan ini mesti kita giatkan. Pastinya tiada jalan mudah untuk menawan kembali nurani bangsa Melayu. Ia akan mengambil masa. Namun itulah harga sebuah perjuangan.
"Strategi paling penting untuk kita mengembalikan kepercayaan ini adalah dengan mengembalikan kesatuan kita sebagai sebuah parti," katanya.