KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa, Islam di Malaysia kini ini seakan telah 'ditawan' oleh golongan tertentu apabila terdapat kelompok politik dalam negara ini yang merasakan bahawa Islam adalah milikan tunggal mereka.
Menurutnya, kelompok tersebut merasakan seolah-olah hanya mereka yang mempunyai ilmu untuk menilai apa yang Islamik dan apa yang bukan Islami.
"Yang lebih merbahaya, sesiapa yang tidak bersama mereka dilihat mengancam Islam. Atau gagal mendukung Islam.
"Mereka sesungguhnya menggunakan Islam untuk memecahbelahkan orang Melayu di negara ini.
"Malah menakut dan menjauhkan Islam, dari sanubari dan hormat golongan bukan Islam terhadap agama suci ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini pada Rabu.
Beliau menambah, Islam akan terancam sekiranya terus 'ditawan' seperti mana ia diperlakukan oleh kelompok politik tertentu dalam negara ini.
Sedangkan katanya, Islam yang sebenar bukan milikan sesiapa sebaliknya adalah rahmat ALLAH SWT untuk seluruh alam.
Sehubungan itu tegas beliau, UMNO mesti memastikan Islam tidak terancam dengan tampil menjelaskan pendirian bahawa Islam adalah agama yang suci dan tidak pernah sesekali mengajar untuk mengastakan keimanan dan keislaman seseorang, menggunakan neraca politik.
"Lebih penting, Islam mesti kita persembahkan secara berhikmah, moden dan intelektual. Bukan dengan jalan menghukum, mencerca atau membeza-bezakan manusia.
"Semoga Islam di Malaysia ini, menjadi benar-benar inspirasi untuk sebuah negara yang mendapat limpah rahmat dan pengampunan Ilahi, Insya-ALLAH.
"Bukannya dijadikan sebagai barang dagangan politik ataupun bahan tunggangan semata-mata," katanya.