LIMA wakil Malaysia termasuk beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Jepun 2024 di Yokohama pada Rabu.
Pada pusingan pertama kejohanan Super 750 di Arena Yokohama, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan Taiwan, Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh, 21-17, 22-24, 21-11 dalam masa 58 minit.
Pasangan bukan pilihan Malaysia itu akan berdepan Julie Finne-Ipsen-Mai Surrow selepas gandingan Denmark tersebut mengalahkan Rutaparna Panda-Swetaparna Panda dari India, 21-8, 21-14.
Sementara itu, beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut ke pusingan kedua apabila menewaskan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh, 21-19, 21-14.
Gandingan pilihan ketujuh itu akan menentang beregu Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch, yang mengalahkan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett, 25-23, 21-14.
Bagaimanapun, gandingan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie gagal melangkah ke pusingan seterusnya selepas tewas straight set kepada Cheng Xing-Zhang Chi dari China, 12-21, 18-21.
Bagi beregu lelaki, Malaysia memastikan satu slot ke suku akhir apabila kedua-dua gandingan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bakal berdepan satu sama lain dalam pusingan kedua.
Sebelum itu, Wei Chong-Kai Wun mudah menundukkan Lin Bing-Wei-Su Ching Heng dari Taiwan, 21-10, 21-7, manakala Yew Sin-Ee Yi menewaskan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark, 21-14, 21-13.
Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao juga layak ke peringkat seterusnya apabila menang ke atas pemain tuan rumah, Takuma Obayashi, 21-15, 21-17.
Bagaimanapun, pemain nombor 27 dunia itu akan berdepan cabaran getir dalam usaha merebut tempat lapan terakhir apabila terpaksa berdepan seorang lagi wakil tuan rumah yang juga pemain nombor lapan dunia, Kodai Naraoka.
Terdahulu, Naraoka bangkit menewaskan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, 18-21, 21-9, 21-19.