SHAH ALAM - Wanita dan kanak-kanak perlu lebih berhati-hati dengan persekitaran pada hari ini termasuk termasuk ahli keluarga sendiri bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah sehingga nyawa melayang.
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, beberapa insiden pembunuhan kejam yang berlaku sejak akhir-akhir ini menyaksikan wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa dan lebih menyedihkan adalah pelakunya adalah orang yang dekat dengan mereka.
Menurutnya, kejadian isteri yang ditolak oleh suami jatuh ke dalam gaung sebelum diselamatkan orang ramai di Gerik, Perak serta seorang guru yang didakwa dibunuh oleh kenalan sendiri dan mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna di dalam tong sampah di Melaka antara contoh tragedi melibatkan orang dikenali.
"Dulu kita dinasihatkan agar berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali tetapi dengan keadaan yang berlaku sekarang ini kita perlu berhati-hati dengan ahli keluarga sendiri termasuk kawan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelas Wan Azliana, kes terbaharu melibatkan seorang ibu dan anak perempuannya yang merupakan warganegara asing ditemui mati di dalam longkang di Alor Setar, Kedah pada Isnin juga didakwa dilakukan oleh ahli keluarganya sendiri iaitu suspek lelaki yang merupakan suami dan bapa kepada mangsa.
Katanya, rumah sepatutnya menjadi tempat perlindungan yang selamat buat wanita dan kanak-kanak namun keadaan tersebut dilihat sudah berubah pada hari ini.
Justeru beliau berkata, ASWA menyarankan kepada kerajaan agar memandang serius kejadian yang menyayat hati tersebut dengan memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak supaya tidak menjadi mangsa kekejaman.
"Kerajaan perlu fokus pada isu kesihatan mental iaitu memberikan penekanan awal kepada kanak-kanak agar tidak terlibat dengan tindakan agresif sehingga menyakiti individu lain, dari segi fizikal, mental atau emosi seperti kejadian buli.
"Seperti kes buli, dalam kalangan pelaku ini bukan tiba-tiba nak jadi pembuli tetapi dipengaruhi oleh cerita-cerita seperti kes potong anggota badan (pembunuhan kejam) yang ditonton dalam talian dan berkaitan dengan buli siber,” ujarnya.
Tambahnya, tingkah laku agresif yang cenderung kepada jenayah itu perlu disekat melalui penggubalan Akta Buli.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan beberapa insiden pembunuhan kejam yang menggemparkan negara mutakhir ini mencetuskan persoalan apakah Malaysia kini tidak lagi selamat untuk wanita dan kanak-kanak.
Lebih membimbangkan, kes dengan pelbagai modus operandi tersebut berlaku satu demi satu dalam tempoh singkat, seolah-olah penjenayah tidak lagi takut terhadap hukuman yang menanti mereka di mahkamah kelak.
Ringkasan berita:
- Peringatan Berwaspada: Wanita dan kanak-kanak harus lebih berhati-hati, termasuk dengan ahli keluarga sendiri, untuk menghindari menjadi mangsa penjenayah.
- Pembunuhan Kejam: Beberapa insiden terkini menunjukkan pelaku pembunuhan kejam sering kali adalah orang yang dikenali mangsa, seperti ahli keluarga atau kenalan.
- Kes Terkini: Contoh insiden melibatkan isteri yang diselamatkan selepas ditolak suami ke dalam gaung di Gerik dan guru yang dibunuh oleh kenalannya di Melaka.
- Pendidikan Awal: Beri pendidikan awal kepada kanak-kanak agar tidak terlibat dalam tingkah laku agresif, serta memfokuskan pada isu kesihatan mental.
- Akta Buli: Tingkah laku agresif yang cenderung kepada jenayah perlu disekat, dan penggubalan Akta Buli disarankan untuk mengatasi masalah ini.
- Keselamatan Wanita dan Kanak-Kanak: Insiden pembunuhan kejam yang kerap berlaku menimbulkan kebimbangan.