KEMPEN Tanpa Beg Plastik di premis perniagaan terutama pasar raya merupakan inisiatif yang baik dalam melestarikan alam sekitar. Ia pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di negara ini.
Malaysia merupakan negara penyumbang kedua tertinggi pencemaran plastik di Asia dengan purata setiap individu menggunakan hampir 17 kilogram plastik setahun.
Berdasarkan laporan Tabung Alam Sedunia (WWF) pada 2020, penggunaan bungkusan plastik makanan di Malaysia dianggarkan mencecah 148,000 metrik tan.
Justeru, kempen Tanpa Beg Plastik bagi mendidik rakyat Malaysia mengenai kesan buruk penggunaan beg plastik adalah tepat dan perlu diteruskan.
Kempen ini bermula dengan kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang diperkenalkan di Selangor pada tahun 2010 dengan menyasarkan hari Sabtu.
Ia kemudian diambil alih kerajaan Pusat dan diperluaskan ke seluruh negara melibatkan setiap hari pula. Sehingga kini beberapa negeri sudah mengamalkan kempen tersebut.
Kerajaan turut menyasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada 2025.
Di sebalik kerajaan giat memperluaskannya, timbul persoalan mengenai matlamat asal kempen berkenaan.
Ini kerana ada peniaga menjadikan ia medium keuntungan dengan menjual beg plastik kepada pembeli.
Sedangkan, kempen ini sebenarnya untuk membudayakan orang ramai membawa beg sendiri.
Tapi masih ramai lebih suka membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang ditawarkan.
Sudah tentu ia tersasar dengan matlamat asal untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.
Beberapa kerajaan negeri sebelum ini mendakwa menyalurkan kutipan jualan beg plastik tersebut kepada pihak berkuasa tempatan untuk program CSR.
Namun, setakat ini tidak ada jumlah didedahkan berhubung kutipan tersebut sehingga terus menjadi persoalan pengguna.
Oleh itu, kerajaan perlu melihat semula perkara ini.
Mungkin sepatutnya setiap pasar raya dipertanggungjawabkan menyediakan beg plastik jenis biodegradasi secara percuma kepada pelanggan.
Seperti apa yang dilakukan kerajaan Negeri Sembilan apabila tidak membenarkan semua pasar raya dan peniaga di negeri itu mengenakan caj bagi penyediaan semua jenis beg plastik kepada pelanggan termasuk daripada jenis biodegradasi.