Bantu anak mangsa Covid-19 hingga tamat belajar

Iklan
Ismail Sabri ketika diwawancara secara eksklusif oleh Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat lalu.

KEPRIHATINAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap anak-anak yang kehilangan ibu bapa memberi cetusan idea kepada beliau untuk menubuhkan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera berkata, tujuan utama penubuhan yayasan berkenaan adalah untuk menjaga kepentingan masa hadapan anak-anak itu khususnya membabitkan pembelajaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, YKM akan menjaga kebajikan mereka sehingga menamatkan pembelajaran sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, Nor Syamira Liana Nor Ashaha bersama Ismail Sabri mengenai Larian Keluarga Malaysia pada 29 September depan bertujuan menambah dana YKM.

Iklan

SINAR HARIAN: Boleh Datuk Seri ceritakan secara terperinci tujuan penubuhan YKM dan apa yang diharapkan daripada yayasan ini?

ISMAIL SABRI: Ketika Covid-19 melanda dunia, kebanyakan negara hanya memfokuskan kepada penularan Covid-19 tetapi selepas wabak, banyak kerajaan negara luar tidak lagi campur tangan. Ia termasuk hal mengurus anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat jangkitan Covid-19.

Iklan

Ini perbezaan kita (Malaysia) dengan negara lain yang mana kita bukan sahaja fokus sewaktu pandemik, malah selepas Covid-19 masih lagi memainkan peranan membantu anak-anak ditimpa nasib malang.

Sebenarnya, idea penubuhan yayasan ini tercetus apabila saya turun ke negeri- negeri untuk menziarahi anak-anak kehilangan ibu bapa akibat pandemik berkenaan.

Saya lihat kesusahan mereka untuk meneruskan kehidupan.

Paling membimbangkan, jika mereka tidak mampu meneruskan pembelajaran dan bersekolah kerana anak-anak (kanak- kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19) tidak semuanya lahir dalam keluarga dilimpahi kemewahan.

Ada dalam kalangan mereka terlalu miskin sehingga terpaksa tinggal di rumah nenek yang tidak bekerja.

Jadi saya lihat, kalau kita tidak memainkan peranan menjaga kepentingan anak-anak ini, mereka sukar memiliki masa hadapan cerah.

Ini sebab utama saya menubuhkan YKM dan tujuannya menjaga anak-anak yatim piatu sehingga mereka tamat belajar.

Oleh demikian, saya ingin memastikan mereka mendapat pendidikan sewajarnya kerana hanya dengan pendidikan sahaja mereka dapat mengubah kehidupan mereka.

Ismail Sabri berkata, YKM akan menjaga kebajikan mereka sehingga menamatkan pembelajaran sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti.

Bagaimana yayasan menyalurkan bantuan kepada anak-anak dan berapa ramai penerima sumbangan setakat ini?

Menerusi YKM, kita akan menyalurkan bantuan dari segi kewangan sebanyak tiga kali setahun dan pemberian pakaian dan peralatan sekolah setiap kali bermulanya sesi persekolahan setiap tahun. Jika tiba musim perayaan, kita akan bersama-sama mereka membeli baju baharu dan sebagainya.

Sementara itu, jika Ramadan dan perayaan, kita akan mengadakan majlis berbuka puasa, hari raya dan sebagainya.

Tujuan pelaksanaan acara ini adalah untuk anak-anak merasai bahawa ada orang yang menjaga mereka.

Kita tidak mahu mereka berasa terpinggir selepas kematian ibu-bapa.

Mengenai proses pemberian sumbangan di bawah YKM, kita ada satu program dinamakan sebagai Ziarah Kasih.

Melalui program ini, saya akan ke rumah anak yatim untuk bersama mereka sambil memberi sumbangan.

Sumbangan dilakukan dengan dua cara iaitu melalui Ziarah Kasih dan menyalurkan bantuan kewangan secara terus ke dalam akaun.

Berkenaan jumlah penerima sumbangan, setakat ini lebih 6,000 penerima termasuk mereka yang kehilangan ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali.

'Kita sangat bertuah kerana di negara ini, rakyat begitu bermurah hati dari segi menghulurkan bantuan'

Difahamkan Datuk Seri sedang mengusahakan satu program dinamakan Larian Keluarga Malaysia. Boleh ceritakan tujuan program ini diadakan?

Larian Keluarga Malaysia dianjurkan untuk menambahkan dana yayasan.

Sebenarnya, kita mendapat komitmen daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyumbang RM5 juta setahun.

Jumlah ini cukup untuk kita beri sumbangan kepada anak yatim dan pentadbiran yayasan.

Bagaimanapun, kita perlu menambah lagi dana supaya lebih selesa dengan apa yang ada kini kerana khuatir dana berkurangan.

Tempoh penjagaan anak-anak ini masih lama lagi kerana saya sudah berjanji menjaga kebajikan mereka sehingga tamat belajar.

Jadi tujuan utama larian ini diadakan adalah untuk menambah dana. Seterusnya, kita mahu rakyat turut bersama-sama memberi bantuan.

Kita sangat bertuah kerana di negara ini, rakyat begitu bermurah hati dari segi menghulurkan bantuan.

Jadi dalam soal anak-anak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19, rakyat Malaysia boleh bersama-sama YKM untuk menjaga kepentingan mereka melalui penyertaan dalam Larian Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, saya juga mahu rakyat Malaysia turut sama merasai kesedihan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Mereka berdepan trauma lebih teruk berbanding orang lain kerana tidak dapat menziarahi ibu bapa ketika sakit dan nazak. Sehinggakan ibu bapa meninggal dunia juga mereka tidak dapat melihat, mengucup dahi buat kali terakhir.

Ismail Sabri (tengah) bergambar bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (duduk, kanan) dan warga kerja Kumpulan Karangkraf.

Berapa jenis kategori disediakan dan apa yang akan diperolehi sekiranya menyertai Larian Keluarga Malaysia?

Hadiah ditawarkan untuk larian ini tidak besar kerana tujuan ia diadakan bukan untuk mendapatkan hadiah tetapi melahirkan perasaan simpati kepada anak yatim.

Menerusi acara ini, akan ada tiga laluan iaitu lima kilometer (km), 10km dan 21km. Yuran penyertaan adalah hanya RM39 bagi 5km, RM59 (10km) dan 21km (RM79). Yuran ini hanya untuk 2,000 peserta terawal sahaja.

Acara lima dan 10km akan menerima sehelai baju-T manakala 21km pula dapat dua helai baju-T berserta medal.

Dalam pada itu, saya ingin berterima kasih kepada jenama kereta tempatan kerana menyediakan sebuah kereta untuk acara cabutan bertuah. Setiap penyertaan layak untuk menyertai cabutan bertuah.


PROFIL

Ismail Sabri Yaakob

Tarikh lahir: 18 Januari 1960

Anak kelahiran: Temerloh, Pahang

Kelulusan:

Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya pada 1980.

Tingkatan 6 di Jaya Akademik

Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976)

Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973)

Sekolah Kebangsaan Bangau, Pahang (1967)

Portfolio Kerajaan:

1985 – Peguam

1995 – 1999 – Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan

2008 – 2009 – Menteri Belia dan Sukan

2009 – 2013 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

2013 – 2015 – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

2015 – 2018 – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

12 Mac 2020 – Menteri Kanan (Menteri Pertahanan), (Kluster Keselamatan)

7 Julai 2021 – Timbalan Perdana Menteri Malaysia

2021- 2022 - Perdana Menteri Malaysia