Budak 8 tahun rentung, ibu hanya sempat selamatkan dua anak

Iklan
Keadaan api yang marak menyebabkan seorang ibu tidak sempat menyelamatkan salah seorang anaknya sebelum ditemukan rentung di dalam bilik dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Telisai, Lahad Datu.

LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Telisai, dekat sini, pada malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mayat Mohd Qalish Abdul Jumain, 8, ditemukan di bahagian bilik rumah tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.46 malam.

Mayat mangsa ditemukan pasukan bomba di ruangan bilik dalam kejadian kebakaran di Kampung Telisai, Lahad Datu.

Menurutnya, seramai 15 anggotanya bersama empat anggota dari Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) Felda Sahabat dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 55 kilometer dari BBP Lahad Datu.

Iklan

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan tiga motosikal yang telah terbakar 100 peratus.

"Ketika kejadian terdapat 13 lagi ahli keluarga berada di dalam rumah tersebut, namun hanya kanak-kanak tersebut tidak sempat diselamatkan oleh ibunya selepas menyelamatkan dua lagi anak yang lain kerana api dalam keadaan marak ketika itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Sumsoa berkata, mayat mangsa kemudian ditemukan selepas pihaknya berjaya memadamkan kebakaran tersebut.

"Mayat mangsa rentung ditemui di ruangan bilik pada jam 10.59 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 12.45 tengah malam," katanya.