Sinar Harian terima penghargaan Ketua Polis Kelantan

Iklan
Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Hazelen Liana (dua dari kiri) pada Malam Apresiasi Media Bersama PDRM Kontinjen Kelantan pada Rabu.

KOTA BHARU - Sinar Harian menerima penghargaan daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun sempena Malam Apresiasi Media Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan, di sini, pada Rabu.

Penghargaan berbentuk sijil disampaikan Muhamad Zaki kepada Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Hazelen Liana Kamarudin dan dua Wartawan Sinar Harian Biro Kelantan, Adila Sharinni Wahid serta Aswany Omar.

Iklan
Iklan
Adila Sharinni (tengah) menerima sijil penghargaan daripada Muhamad Zaki (kiri).

Muhamad Zaki berkata, beliau menghargai peranan wartawan sebagai rakan strategik PDRM dalam membantu kontinjen menguar-uarkan kejayaan pihaknya dalam membanteras jenayah termasuk melibatkan gejala penyeludupan dadah dan migran.

"Sepanjang kerjasama polis dan media, tidak pernah timbul aduan dari pucuk kepimpinan malah mereka sangat gembira atas hubungan kedua-dua pihak yang terjalin berada di landasan amat baik,” katanya dalam ucapan sempena majlis tersebut di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.

Iklan
Pengamal media di Kelantan bergambar bersama Muhamad Zaki (tengah) sempena Malam Apresiasi Media Bersama PDRM Kontinjen Kelantan di Kota Bharu.

Turut sama menerima penghargaan, ialah 35 wartawan dan jurugambar media cetak serta elektronik daripada pelbagai agensi lain termasuk Astro Awani, Radio Televisyen Malaysia serta Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki mengingatkan para wartawan arus perdana supaya tidak terpengaruh atau mengikut jejak penulisan ‘wartawan’ tidak bertauliah di media sosial.

Iklan

Katanya, beliau memahami cabaran dihadapi wartawan arus perdana yang perlu bersaing dengan penulisan di media sosial khususnya soal paling cepat melaporkan berita.

"Polis seboleh-boleh nak beri maklumat secepat mungkin kepada wartawan, tidak mahu lambat, tetapi ada beberapa perkara yang memerlukan pemeriksaan atau siasatan lebih teliti kerana melibatkan pendakwaan dan mahkamah.

"Pada pandangan saya, tak perlulah berlumba-lumba dengan mereka yang menulis di media sosial atau jika tidak, kemungkinan akan membawa kesilapan.

"Andai terikut-ikut dengan rentak penulisan di media sosial, satu hari nanti etika kewartawanan akan dilupakan. Adalah lebih baik selidik dahulu berbanding menghasilkan penulisan tidak beretika,” katanya.