BRICS: Malaysia sebagai pintu masuk aktiviti ekonomi ASEAN

Iklan
Laporan Sinar Harian

PENYERTAAN Malaysia dalam BRICS akan menyerlahkan potensi negara sebagai pintu masuk bagi aktiviti ekonomi di negara-negara ASEAN, kata pakar ekonomi.

Penganalisis Ekonomi INCEIF University, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, Malaysia juga berupaya memanfaatkan peluang perdagangan untuk meningkatkan akses pasaran, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan dari negara-negara BRICS.

Iklan
Iklan

Malaysia telah mengemukakan permohonan untuk menyertai BRICS, blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Rusia, India serta China selain disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Pada Januari 2024, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.

Iklan

"Brazil misalnya adalah salah satu penyumbang terbesar import daging halal ke Malaysia. Oleh itu, Malaysia berpotensi menjadi pintu masuk utama untuk makanan halal daripada Brazil dengan kos lebih rendah.

"Kita boleh menggunakan peluang ini untuk menjadi pintu masuk bukan sahaja untuk sumber makanan di Malaysia tetapi sebagai pintu masuk untuk sumber makanan negara ASEAN yang lain,” katanya dalam program Ruang Bicara disiarkan di Bernama TV pada Rabu.

Iklan

Selain itu, Baharom berkata, Malaysia yang juga pengeluar semikonduktor terbesar dunia berpotensi memperluas kerjasama dengan China yang merupakan pengeluar utama kenderaan elektrik.

"Kita perlu meneruskan kerjasama dengan China sebagai pelengkap sektor semikonduktor untuk kegunaan industri di China. Pada masa sama, kita juga harus mengharapkan agar China meningkatkan lagi pelaburan di Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepentingan penyertaan Malaysia dalam BRICS perlu disertai oleh perancangan strategik dalam memastikan limpahan ekonomi terhadap pelbagai sektor dan industri dalam negara selain memaksimumkan potensi perdagangan dan pelaburan yang memberi manfaat kepada ekonomi domestik.

"Kita perlu pastikan dengan menyertai BRICS ini, perusahaan mikro, kecil dan sederhana turut terjaga. Kita tidak mahu nanti akan ada limpahan barangan daripada luar yang sebaliknya boleh menjejaskan mereka,” katanya.

Atas kepentingan itu, beliau berkata perancangan rapi perlu dilakukan untuk meneliti sektor yang sesuai untuk dibuka dan yang harus dilindungi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga perlu membuat laporan secara berkala dengan telus dan berintegriti untuk melihat impak menyeluruhnya kepada ekonomi negara. - Bernama