SIK - Jemaah di sebuah surau di Kampung Namek Tua, di sini terpaksa bergilir-gilir menunaikan solat Maghrib selepas menyedari kehadiran seekor ular tedung selar kira-kira jam 7.30 malam pada Rabu.
Kejadian disedari sebaik sahaja jemaah mahu menunaikan solat sebelum ternampak seekor ular tedung selar berdekatan tingkap surau berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kejadian disedari oleh salah seorang jemaah yang secara tiba-tiba terdengar dengusan haiwan berkenaan.
Menurutnya, ketika itu, ular tedung selar sepanjang kira-kira tiga meter itu dipercayai mula mengembangkan kepalanya dan bersedia untuk mematuk sekiranya terasa terancam.
"Mereka kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik sebelum sebahagian jemaah meneruskan solat secara bergilir-gilir.
"Ia bertujuan bagi mengawasi pergerakan reptilia berkenaan sebelum kehadiran anggota," katanya.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shahnizam Darus tiba di lokasi bersama enam anggota sebaik menerima panggilan berhubung kejadian.
"Bomba menerima panggilan pada jam 8.10 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Tindakan operasi adalah menggunakan peralatan khas bagi menangkap ular tedung selar itu," katanya.
Jelasnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular tersebut yang bertindak agresif.
"Ular itu bertindak agresif ketika anggota cuba menangkapnya namun dengan kemahiran yang ada, haiwan itu berjaya ditangkap," katanya.
Zulkhairi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan cuaca yang tidak menentu dan lembab ketika ini yang kemungkinan boleh menyebabkan kemunculan haiwan berbisa.
Katanya, ular sering menjadikan kawasan sejuk untuk tumpang berteduh.
"Orang ramai juga perlu sentiasa menjaga kebersihan di kawasan rumah selain memastikan kasut diperiksa sebelum disarung untuk kecemasan luar jangka," katanya.
Difahamkan, sejak seminggu ini, sebanyak 10 kes dilaporkan kepada BBP Sik membabitkan kes tangkapan ular.