KUALA LUMPUR - Bacaan al-Quran braille oleh wanita cacat penglibatan, Nor Hidayu Mohd Yusoff sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 mencuri tumpuan ramai.
Wanita berkenaan merupakan Juara Pertandingan Tilawah Al-Quran Braille Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dia yang juga guru al-Quran itu memaklumkan, surah yang dipilih adalah al-Imran bermula ayat 139 hingga 154 yang berkisarkan tentang perpaduan.
"Surah ini menerangkan kepentingan umat Islam yang perlu berpegang dengan tali ALLAH, di mana kita kena bersatu padu dan bersama-sama memastikan kita terus berada dalam keadaan baik.
"Ia merupakan panduan utama seluruh umat Islam yang perlu sentiasa diutamakan sebelum melakukan sesuatu kerana tanpanya hidup kita akan pincang dan kucar-kacir.
"Jadi inisiatif yang diambil oleh Wanita UMNO ini adalah sangat baik, mengambil keberkatan ALLAH supaya majlis berjalan lancar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dan sayap-sayap parti berlangsung bermula 21 Ogos hingga 24 Ogos.
Seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara dijangka hadir ke program berkenaan membabitkan Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Perhimpunan Agung Pemuda UMNO dan Perhimpunan Agung Puteri UMNO.
Antara agenda utama PAU 2024 adalah pemerkasaan ekonomi bumiputera dan penstrukturan semula jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).