MELAKA - Polis menahan seorang remaja lelaki dan perempuan selepas dipercayai terlibat dalam rakaman video tular di media sosial, TikTok berkaitan dadah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kedua-dua individu berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang di Batu Berendam serta sekitar Jasin pada Rabu.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati perbualan remaja terbabit adalah susulan daripada sebuah filem yang memaparkan adegan berkaitan penyalahgunaan dadah.
"Satu penafian penyalahgunaan dadah telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul oleh salah seorang remaja terlibat dalam perbualan tular berkaitan dadah semasa siaran langsung TikTok.
"Kita turut menahan dua remaja terbabit dan mereka mendakwa perbualan itu adalah berhubung sebuah filem yang ditonton serta sekadar gurauan bersama rakan-rakan sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Zainol berkata, semakan rekod juga mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lampau dan kes dirujuk ke Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut.
Media pada Rabu melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berkaitan rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan perbualan empat individu dipercayai berkaitan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, salah seorang individu yang dipercayai terbabit dalam video itu juga sudah membuat laporan polis Melaka.
Video perbualan empat individu berkenaan melalui penstriman langsung di sebuah aplikasi media sosial tular selepas salah seorang daripada mereka didakwa menunjukkan satu plastik berwarna lut sinar.
Selain itu, salah seorang daripada mereka turut menunjukkan satu botol air didakwa peralatan menghisap dadah.
Ringkasan berita:
- Tangkapan: Polis menahan dua remaja, lelaki dan perempuan berusia 17 dan 18 tahun.
- Lokasi Penangkapan: Mereka ditahan di Batu Berendam dan sekitar Jasin, Melaka.
- Latar Belakang Perbualan: Perbualan berkaitan dadah itu adalah susulan dari sebuah filem yang mereka tonton.
- Siasatan Polis: Penafian penggunaan dadah telah dibuat di IPD Sentul oleh salah seorang remaja yang terlibat.
- Siasatan Lanjut: Kes dirujuk kepada SKMM untuk siasatan lanjut.
- Laporan Awal: Polis siasat rakaman video seorang memegang plastik lut sinar dan botol air yang didakwa peralatan dadah.