SHAH ALAM - Grab Malaysia dengan sukacita mengumumkan sumbangan berjumlah lebih dari RM1 juta telah berjaya dikumpulkan untuk menyokong MERCY Malaysia sejak November 2023.
Pencapaian ini adalah bukti usaha Grab, para penggunanya, rakan pemandu dan penghantar Grab dalam berganding bahu untuk membiayai usaha bantuan dan pemulihan oleh organisasi ini.
Dana yang dikumpul termasuk sumbangan sukarela daripada pengguna melalui GrabPay dan GrabRewards, yang dipadankan oleh Grab Malaysia.
Grab Malaysia turut bekerjasama dengan Mastercard, yang telah menyumbang satu peratus daripada nilai pesanan GrabFood untuk pesanan berjumlah RM30 dan ke atas.
Jumlah itu juga termasuk persetujuan untuk menyumbang sebanyak RM200,000 melalui Dana GrabForGood.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, berkata, inisiatif tersebut sebagai sebuah jenama tempatan dan pihaknya mahu terus terlibat dengan peningkatan kehidupan komuniti yang kurang diberi layanan dan memerlukan bantuan.
"Inisiatif kami bersama MERCY Malaysia merupakan lanjutan dari usaha kami selama ini. Pengguna kami telah menunjukkan kemurahan hati yang luar biasa dan sumbangan mereka telah membawa perubahan nyata dalam kehidupan komuniti yang terjejas akibat banjir.
"Kami berbangga dapat memanfaatkan inovasi teknologi kami untuk menguatkan impak positif ini, menjadikannya lebih mudah dan senang diakses oleh rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada komuniti mereka,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini
Sumbangan yang terkumpul akan digunakan untuk membiayai usaha bantuan di seluruh Malaysia serta membantu mereka yang terjejas akibat konflik.
Tabung bantuan banjir #BantuanBanjir
Sejak tahun 2021, Grab Malaysia telah bekerjasama dengan MERCY Malaysia untuk kempen #BantuanBanjir yang menyokong pemulihan komuniti yang terjejas akibat banjir di seluruh Malaysia.
Ini termasuk menyediakan bantuan segera seperti makanan, air bersih dan bekalan asas. Selain itu, sumbangan yang dikutip juga akan digunakan untuk memperoleh bahan mentah dan tenaga kerja yang diperlukan untuk memulihkan infrastruktur kawasan, membantu membina semula rumah, sekolah serta membaik pulih sistem pembentungan.
Semasa inisiatif sukarelawan di Kampung Kuala Jengal, Terengganu baru-baru ini, pasukan Grab dapat bertemu dengan Puan Sepiah, salah seorang penerima kempen #BantuanBanjir.
Dia berkongsi bahawa rumahnya yang terletak berhampiran sungai terjejas teruk akibat banjir. Para sukarelawan Grab, bersama-sama dengan rakan pemandu dan penghantar Grab telah membantu membersihkan kawasan persekitaran serta membaiki bahagian rumahnya yang terjejas akibat banjir.
Bantuan kemanusiaan
Selain kempen #BantuanBanjir, Grab Malaysia juga telah bekerjasama dengan MERCY Malaysia pada tahun 2023 dalam usaha bantuan kemanusiaan dan sokongan mereka.
Inisiatif ini menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas oleh konflik dan krisis di seluruh dunia. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk pelbagai aktiviti sokongan, termasuk pengagihan makanan dan air, sokongan kesihatan mental, bantuan perubatan dan menyumbang kepada penyediaan serta pengendalian pusat-pusat perubatan.
Melalui usaha ini, dana yang dikumpul bukan sahaja memberikan bantuan segera tetapi juga menyumbang kepada pemulihan dan daya tahan yang mampan kepada komuniti yang terjejas.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, berkata, pihaknya amat berterima kasih atas kemurahan hati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dan menghargai sokongan Grab dalam bantuan banjir dan bantuan kemanusiaan yang dianjurkan secara berterusan dalam masa kritikal ini.
"Kami berharap kerjasama dengan Grab Malaysia dapat diteruskan bagi memperkukuh tindak balas kecemasan kami dan membantu komuniti yang terjejas,”katanya.