GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan Empangan Nenggiri di sini menyifatkan penempatan baharu bakal mereka duduki itu nanti tidak jauh beza dengan yang asal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Orang Asli (JPKKOA) Pos Pulat, Liman Ahong berkata, jarak perjalanan penempatan baharu dengan asal sekitar 30 kilometer dengan rumah yang dibina mengikut citarasa mereka.
"Ikutkan perasaan, kami memang sedih kerana akan kehilangan tanah adat dan sebagainya. Namun memikirkan perlu ke depan mengikut arus pemodenan, jadi kami akur.
"Kami bersyukur apabila penempatan asal nanti tidak jauh beza dan masih mengekalkan identiti asal. Kami bimbang generasi muda terdedah dengan gejala sosial, sebab itu kekalkan budaya asal adalah penting," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, setakat ini mereka sudah bersedia dan tidak sabar untuk berpindah ke penempatan baharu dan berharap apa yang dijanjikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat ditunaikan.
Katanya, pada masa sama pihak TNB juga menyediakan dusun serta ladang getah.
Sementara itu, Adam Roslan, 40, berkata, disebabkan projek hidroelektrik Nenggiri dia berpeluang pulang ke kampung halaman selepas 14 tahun merantau di Kuala Lumpur.
Menurut bapa kepada dua orang anak itu, dia tidak melepaskan peluang tersebut apabila mendapat tahu banyak peluang pekerjaan disediakan di kampung halaman.
Ujar penduduk Pos Tohoi itu, selepas Empangan Nenggiri siap dibina dia merancang untuk membuka chalet bagi merancakkan lagi pelancongan di sini.
Menurutnya, melihat kepada penerangan yang diberikan oleh TNB kawasan empangan nanti akan menjadi salah satu daya tarikan kepada orang ramai sepertimana di Tasik Kenyir, Terengganu dan Tasik Banding di Perak.
Bagi Penghulu Kampung Pos Tohoi, Zainal Chali memberitahu, Orang Asli di sini teruja dengan projek tersebut dan berharap ia dapat disiapkan sebagaimana yang ditetapkan.
"Kami gembira dan teruja bila melihat projek hidroelektrik ini sudah siap 40.5 peratus. Diharap pada pertengahan tahun 2026 kami sudah boleh berpindah ke penempatan baharu sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak TNB.
"Kami telah melawat tapak baharu pemindahan, dan melihat model rumah yang diberikan tepat dengan citarasa," katanya.
Zainal berkata, selain itu peluang pekerjaan turut disediakan untuk Orang Asli di sini iaitu disektor perladangan serta pembinaan.
Ujarnya, setakat ini hampir 100 masyarakat Orang Asli telah merebut peluang tersebut dan menjadi sebahagian daripada orang penting dalam menyiapkan Empangan Nenggiri.