SHAH ALAM - Tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mencadangkan Deposit Madani maksimum RM30,000 merupakan langkah positif dan strategik bagi membantu golongan belia memiliki rumah pertama.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abd Hamid berkata, inisiatif tersebut membuktikan bahawa Malaysia mampu berdiri gah setanding negara maju lain seperti Kanada, United Kingdom (UK) dan Australia yang memberikan bantuan seperti itu.
Malah menurutnya, inisiatif terbabit mampu memberikan impak signifikan terhadap kadar pemilikan rumah di kalangan belia dari sudut ekonomi.
"Menurut statistik terkini dari Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia berusia antara 25 hingga 34 tahun masih rendah iaitu anggaran sekitar 35 peratus.
"Salah satu faktor penyumbang kepada keadaan ini adalah kos permulaan yang tinggi termasuk deposit pembelian rumah.
"Bantuan deposit sehingga RM30,000 dapat meringankan beban kewangan pembeli rumah pertama, meningkatkan kemampuan golongan ini untuk beli rumah dan bantu mengurangkan jurang pemilikan yang wujud antara belia serta kumpulan umur lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan KPKT mengemukakan 33 cadangan termasuk Deposit Madani kepada Kementerian Kewangan (MoF) melibatkan peruntukan bernilai hampir RM1 bilion bagi Belanjawan 2025.
Menterinya, Nga Kor Ming memaklumkan, cadangan itu antara lain termasuk pembangunan 100 Taman Rekreasi Madani, transformasi kolam takungan, perjanjian jual beli elektronik dan e-stamping atau tekan tera elektronik.
Jelasnya lagi, inisiatif Deposit Madani untuk pembeli rumah pertama kategori B40 dan M40 dibuat bagi meringankan komitmen bayaran selaras dengan dasar kerajaan iaitu 'Rumahku, Syurgaku'.
Dalam pada itu, Mohd Izzat Afifi turut memaklumkan, dari segi makroekonomi, inisiatif berkenaan dijangka dapat merancakkan pasaran hartanah negara terhadap peningkatan permintaan rumah.
Tambah beliau, peningkatan tersebut mampu memberikan kesan positif kepada industri pembinaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Jelasnya lagi, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pembinaan menyumbang sekitar 4.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 dan sebarang peningkatan dalam industri berkenaan memberi impak positif terhadap ekonomi keseluruhan.
"Justeru, MBM mencadangkan agar inisiatif ini tidak hanya terbuka kepada pembeli rumah baharu, tetapi buat pembeli rumah dalam kategori rumah terpakai atau 'sub-sale' kerana harganya lebih murah dan mampu milik.
"Ia bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli dalam proses memiliki rumah, lebih-lebih lagi di bandar besar. Namun, keberkesanannya memerlukan pelaksanaan teliti dan menyeluruh, termasuk pemantauan rapi supaya golongan sasar benar-benar mendapat manfaatnya.
"Terdapat juga keperluan untuk memastikan bahawa inisiatif ini tidak menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak yang boleh membebankan pembeli," katanya