[VIDEO] ‘Bukan masa nak buktikan siapa lebih Melayu, Islam’ - Noraini

Iklan

KUALA LUMPUR - UMNO tidak perlu membuktikan pihak mana yang lebih Melayu dan Islam atau parti yang perlu menjuarainya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pada hakikatnya semuanya mengucap syahadah yang sama, hanya berbeza pendekatan yang dibawa.

Iklan
Iklan

"Kita sering mendengar tuduhan bahawa politik Melayu dan Islam sedang mengalami kemerosotan, bahawa suara Melayu dan Islam semakin dipinggirkan.

"Ada pihak yang mendakwa bahawa kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan agama Islam," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Iklan
Noraini ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, perlu sedar bahawa retorik perkauman yang melampau hanya akan merosakkan fabrik sosial masyarakat.

Iklan

"Lihatlah apa yang berlaku di Amerika Syarikat dengan kebangkitan alt-right, atau di Eropah dengan peningkatan parti-parti sayap kanan ekstrem.

"Perpecahan masyarakat, peningkatan jenayah kebencian, dan ketidakstabilan politik adalah harga yang terpaksa dibayar demi suaka populis,” katanya.

Tambah Noraini, dalam tempoh tujuh dekad UMNO membina negara bangsa, sekarang mereka terpaksa berdepan dengan cabaran daripada mereka yang mendakwa memperjuangkan agenda sama.

"Dalam masa Pas berkhayal dengan negara Islam yang abstrak, UMNO telah membina institusi Islam yang konkrit, daripada bank Islam hingga universiti Islam

"Ketika Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) berkhayal dengan imaginasi perjuangan Melayu versi mereka, UMNO sedang mengangkat martabat Melayu ke persada dunia.

"Hakikatnya, UMNO tidak perlu membuktikan siapa lebih Melayu. Kita adalah perjuangan Melayu itu sendiri,” ujar beliau.