KUALA LUMPUR - Malaysia merupakan pilihan tepat untuk diterima menganggotai BRICS memandangkan lokasinya yang strategik menjadikan negara ini penting dan relevan dalam situasi geopolitik dan strategik di rantau Asia Tenggara, khususnya dalam konteks Laut China Selatan.
Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, Laut China Selatan kini menjadi titik fokus persaingan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan negara-negara Eropah, menjadikannya seolah-olah duri dalam daging.
"Lokasi Malaysia sebenarnya menyebabkan kita menjadi sangat penting dan kritikal. Kita memegang (mengawal) laluan antara timur dan barat yang sangat strategik. Hal ini sedikit sebanyak menjadikan pihak barat susah hati, yang tidak mahu kita menyebelahi pihak Timur.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan UAE menyertai organisasi itu sebagai anggota baharu.
Malaysia menyatakan hasrat menyertai kumpulan itu dan pada Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menghantar surat permohonan menyertai BRICS kepada Rusia selaku Pengerusi BRICS.
Muncul dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk BRICS: Potensi Malaysia dan ASEAN di Pentas Geopolitik pada Rabu, Mohd Mizan berkata, penyertaan Malaysia dalam BRICS kelak bakal menawarkan peluang baharu dalam aspek keselamatan, teknologi dan kedaulatan.
Walaupun Malaysia memohon untuk menyertai BRICS, beliau menegaskan bahawa negara ini akan tetap memberi perhatian terhadap soal kedaulatan negara.
"Tidak ada tekanan untuk kita bersama dengan BRICS. Ini pilihan kita sendiri dan kita boleh bekerjasama dalam bidang teknologi. Sebelum ini menerusi kerjasama dengan pihak Barat, kita hanya menjadi pembeli yang menjadi pengguna.
"Tetapi kalau kita bersama dengan pihak Timur ataupun BRICS, kita dapat lihat orientasinya sedikit berbeza, ada pindahan teknologi dan lain-lain,” katanya.
Ketika ditanya sama ada penyertaan Malaysia dalam BRICS akan memberi kesan terhadap hubungan dengan kuasa Barat, Mohd Mizan berkata, beliau tidak melihat perkara itu akan berlaku.
BRICS dilihat sebagai platform untuk negara-negara membangun dan berpendapatan rendah untuk menuntut keadilan dan kesaksamaan dalam ekonomi global, katanya.
Mohd Mizan berkata, sekatan ekonomi memang sering digunakan oleh kuasa-kuasa Barat sebagai alat untuk mempengaruhi atau memaksa negara-negara lain mengikut kehendak mereka. - Bernama