[VIDEO] Cinta tanpa syarat Lokman, Nor Azurah

Iklan

KUALA LUMPUR - Biarpun isteri sedang berjuang melawan kanser paru-paru tahap empat, namun ia sedikit pun tidak menggugat perasaan Lokman Sumadi, 35, terhadap pasangan, Nor Azurah Othman, 39, sebaliknya meneruskan perancangan perkahwinan.

Lokman dan Nor Azurah disatukan pada 18 Ogos lalu ketika beliau berada di rumah keluarga isterinya dekat Kampung Sungai Kelambu, Banting manakala Nor Azurah sedang mendapatkan rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Iklan
Iklan

Biarpun kedua-duanya hanya dihubungkan dengan panggilan video, namun majlis berlangsung dengan sempurna dan berjalan lancar.

Lokman yang segak berbaju Melayu kuning lengkap bersongkok dan bersampin tenang duduk berhadapan jurunikah dan saksi manakala di sampingnya adalah tablet memaparkan Nor Azurah.

Iklan
Lokman (kiri) yang segak berbaju Melayu tenang duduk berhadapan jurunikah dan saksi manakala di sampingnya adalah tablet memaparkan Nor Azurah. Lokman (kanan) ketika melawat Nor Azurah di hospital selepas mereka disatukan pada 18 Ogos lalu.

Adik kembar Nor Azurah, Nora Delysya yang berkongsi video majlis berkenaan dalam satu hantaran di aplikasi TikTok memaklumkan pihak keluarga diundang perasaan bercampur baur namun gembira.

Ujar Nora Delysya, hatinya juga tersentuh apabila Lokman sanggup menerima keadaan kembarnya itu dengan seadanya dan dia akan terus mendoakan kesembuhan buat Nor Azurah.

Iklan

"Mereka merancang ALLAH juga merancang. Sesungguhnya ALLAH sebaik baik perancang.

"Bila mana ALLAH dah aturkan untuk kita yakin ia bahawa itu yang terbaik untuk kita. Sedih, sebak, gembira semua ada saat ini.

"Tahniah buat kembar saya telah menjadi isteri yang sah dengan pasangan yang sanggup terima seadanya. Kau satu dalam sejuta insan yang terpilih.

"Semoga ada keajaiban buat kesembuhanmu. Wahai kembar kesayanganku," ujarnya dan turut berkongsi gambar semasa keadaan adik kembarnya itu kepada Sinar Harian.

Video yang dikongsikan adik kembar Nor Azurah itu kemudiannya menjadi tular di TikTok.

Ia kemudian dimuat naik semula seorang pegawai perubatan, Dr Syed Alif Fauzan.

"Dalam keadaan dunia sekarang yang sedang tenat dengan pelbagai kes dan cabaran masih ada kisah yang boleh kita ambil sebagai pengajaran.

"Tahniah kepada pasangan Man dan Zura pesakit kanser paru-paru tahap empat yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.

"Jom sama-sama doakan moga Zura diberi kesembuhan dan kekal bahagia bersama pasangan," kongsinya.