ADUN Johol sudah sedar, tapi masih di CCU - Jalaluddin

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Jalaluddin

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman yang sedang dirawat di Unit Rawatan Koronari(CCU), Institut Jantung Negara(IJN) dilaporkan telah sedar.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau dimaklumkan Saiful Yazan telah pun sedar kira-kira jam 11 pagi, namun masih memerlukan pemantauan rapi.

Iklan
Iklan

"Isterinya, Datin Shaliza Idris telah maklumkan kepada saya yang suaminya telah pun sedar, namun masih dirawat di CCU.

"Semalam saya ada datang melawatnya, tapi dia masih belum sedar. Saya berharap Saiful Yazan akan cepat pulih bagi meneruskan khidmatnya kepada masyarakat DUN Johol, tapi buat masa ini dia memerlukan rehat secukupnya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, beliau akan mengikuti perkembangan Saiful Yazan dari semasa ke semasa dan masyarakat juga diharap dapat mendoakan kesembuhannya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung keadaan kesihatan wakil rakyat terbabit.

Iklan

"Bila ahli politik masuk hospital, macam-macam persepsi dibuat. Sebaiknya kita mendoakan yang baik-baik,"katanya.

Sebelum ini media melaporkan Saiful Yazan dikejarkan ke IJN kira-kira jam 3 petang selepas tidak sedarkan diri kerana serangan jantung pada Rabu.

Isteri Saiful Yazan dilaporkan berkata, suaminya terkena serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Pusat Dagangan Dunia Putra(WTC).

Saiful Yazan yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Pilah merupakan ADUN Johol sejak 2018 selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tahun lalu.