Bekas pengurus besar didenda RM15,000, lantik anak bekerja

Iklan
Abu Bakar (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.

MELAKA - Bekas Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis kerana penyalahgunaan kuasa dengan menggunakan jawatan memilih anak perempuannya sebagai Penolong Pegawai Sumber Manusia (PSM) di syarikat terbabit.

Hukuman itu diputuskan Hakim Elesabet Paya Wan selepas tertuduh, Abu Bakar Jani,64, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Iklan
Iklan

Berdasarkan, pertuduhan pilihan, Abu Bakar didakwa membuat urusan berhubung suatu harta iaitu bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM31,200 yang diterima anaknya yang dilantik ke jawatan PSM di anak Syarikat Kerajaan Negeri Melaka itu.

Tindakan itu didakwa dilakukan di syarikat itu beralamat di Lot 19B &19C Zone B, Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak, di sini, pada 27 Disember 2018.

Iklan

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda tersebut dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Pada 16 Februari lalu media melaporkan tertuduh didakwa atas tuduhan utama mengikut Seksyen 23(1) ASPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Iklan

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Azrol dalam hujahnya, memohon hukuman denda dikurangkan kerana anak guamnya telah menyesali perbuatan tersebut, selain pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Menurutnya, tertuduh menghidap kencing manis dan hanya membantu iparnya berniaga warung pisang goreng.

Pendakwaan, bagaimanapun meminta hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa kesalahan rasuah adalah serius.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.