CAMERON HIGHLANDS - Pengurangan kadar bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 90 peratus kepada kenderaan 'de-controlled' Cameron Highlands (CH) akan dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, pelanjutan yang bermula 28 Oktober ini hingga 27 Oktober 2027 itu melibatkan kenderaan CH yang mengangkut hasil agrotani dan barang-barang pertanian.
"Inisiatif ini sebagai langkah proaktif kerajaan Madani untuk memanfaatkan 1,058 kenderaan 'de-controlled' CH.
"Inisiatif ini dapat membantu petani dan pengusaha agrotani dalam menguruskan pengangkutan serta pengedaran hasil-hasil agrotani mereka dari kawasan kebun ke pusat-pusat pengumpulan sayuran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar 'Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) dan Pelanjutan Pengurangan Kadar Bayaran Fi LKM di JPJ Cawangan Cameron Highlands di sini pada Khamis.
Menurut Aedy Fadly, usaha berterusan kerajaan juga adalah untuk memberi peluang kepada pengusaha lori sayur untuk menggantikan kenderaan pacuan empat roda (4X4).
"Kebanyakkan kenderaan ini tidak dapat lagi digunakan kerana telah berusia, uzur dan usang secara langsungnya untuk membantu mengurangkan bebanan kos di pihak ahli-ahli persatuan," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-sayuran CH, Lau Sai Hoong ketika ditemui menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan yang sedia memberi tempoh lanjutan berkenaan terhadap fi tersebut.
"Persatuan telah menghantar rayuan kepada Menteri Pengangkutan untuk beri pertimbangan pengurangan LKM untuk kenderaan-kenderaan 'de-controlled' CH.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana telah meneliti permohonan persatuan dan secara singkat bersetuju lanjutkan polisi ini," katanya.