PPPMM desak batal cadangan gabung tiga bank

Iklan
Muhammed Farhan

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mendesak kerajaan supaya membatalkan cadangan penggabungan tiga bank iaitu Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank.

Timbalan Presidennya, Muhammed Farhan Basheer berkata, tindakan tersebut akan melenyapkan platform pembiayaan dan dalam masa sama membantutkan pertumbuhan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, PMKS diakui sebagai antara nadi ekonomi negara terutamanya melibatkan sumbangan sektor itu yang berjumlah RM613.1 bilion pada 2023 selain nilai eksport dan peluang pekerjaan disediakan kepada rakyat.

"Ketika ketiga-tiga bank menyediakan pembiayaan kepada kluster perniagaan yang berbeza, PPPMM bimbang bank baharu tidak lagi fokus untuk memayungi kesemua kluster tersebut.

Iklan

"Jadi kami amat bimbang penggabungan itu akan menghapuskan mandat dan objektif asal ketiga-tiga bank yang fokus terhadap pembiayaan kredit serta pembangunan PMKS. Penubuhan bank baharu mungkin lebih berorientasikan keuntungan.

"Dasar dan senario ini boleh membantutkan operasi sekali gus prestasi serta sumbangan PMKS terhadap ekonomi negara terdedah kepada kemungkinan gulung tikar kerana sukar mendapatkan pembiayaan kredit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Muhammed Farhan memaklumkan, pihaknya mengakui penggabungan tersebut akan menyelamatkan wang kerajaan dan meningkatkan keuntungan selain menampilkan bank yang lebih kukuh dari perspektif korporat.

Bagaimanapun, kata beliau, penubuhan bank baharu mungkin mengabaikan nasib PMKS sehingga golongan berkenaan kehilangan platform untuk mendapatkan pembiayaan kredit yang sebahagiannya lengkap dengan pakej latihan dan bimbingan perniagaan.

"Kami juga ingin mempersoalkan sama ada bank baharu yang dicadangkan ini akan membantu menyelamatkan PMKS bermasalah atau mempunyai rekod kurang baik kerana peranan itu selama ini dimainkan oleh Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank.

"Contohnya, PPPMM amat berbangga dengan prestasi SME Bank yang telah membantu kira-kira 25,000 syarikat PMKS dengan meluluskan pembiayaan mencecah RM45 bilion selain melatih dan membimbing lebih 80,000 usahawan setakat ini.

"Langkah penggabungan ketiga-tiga bank ini pasti melibatkan penyelarasan jawatan dan tugas sehingga sebahagian kakitangan terpaksa diberhentikan kerja walaupun diberi pampasan," ujarnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Majlis Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berpandangan, kerajaan perlu membatalkan cadangan penggabungan, sebaliknya memperkasakan ketiga-tiga bank tersebut termasuk menyalurkan peruntukan lebih besar menerusi Belanjawan Negara 2025.

"Ia bagi memacu PMKS untuk terus unggul sebagai nadi sosioekonomi negara," jelasnya lagi.