KUANTAN - Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman kini sedang melengkapkan misi menderma darah secara solo ke 15 lokasi di seluruh negara.
Pemegang rekod rakyat Malaysia pertama menderma darah tahun lalu itu berkata, misi derma darah solo yang dimulakan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada September tahun lalu antara usahanya dalam mempromosikan kempen budaya menderma darah kepada masyarakat terutama penderma baharu dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, misinya itu telah disempurnakan di enam negeri Pantai Timur dan Utara dengan destinasi terakhir setakat ini di Pulau Pinang pada 1 Ogos lalu.
"Insya-ALLAH sekiranya keadaan kesihatan mengizinkan, misi ini akan berakhir di Pusat Darah Negara pada 2026," katanya ketika ditemui pada Program Infaq Darah Patriotisme Merdeka di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Che Adam yang kini sudah 96 kali menderma darah sejak berusia 19 tahun.
Beliau berkata, hanya tinggal sembilan destinasi lagi bagi melengkapkan misi untuk rekod derma darah peribadinya kali yang ke-105 itu.
"Insya-ALLAH semuanya akan berjalan lancar supaya misi derma darah ini dapat terus dilakukan secara konsisten setiap dua atau tiga bulan sekali.
"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan, cergas dan hemoglobin darah juga baik untuk terus menderma darah," katanya.
Che Adam berkata, aktiviti menderma darah itu tidak terhenti selepas misi solonya selesai sebaliknya dia berhasrat untuk meneruskan lagi pada masa akan datang secara berkumpulan pula.
Menyentuh tentang Program Infaq Darah Patriotisme Merdeka, Che Adam berkata, ia usaha kecil membantu mengumpul bekalan darah bagi membantu pesakit yang memerlukan.
"Ia juga menjadi sebahagian inisiatif pihak APM dalam menyokong promosi dan kempen derma darah selain menarik penderma baharu dalam kalangan masyarakt terutama generasi muda menjadikan aktiviti itu sebagai rutin.
"Untuk program ini kita sasarkan 100 penderma termasuk dalam kalangan anggota APM," katanya.