Ramai warga asing pandu kenderaan tanpa lesen di Cameron Highlands

Iklan
Aedy Fadly (tengah) dalam sidang akhbar di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS - Sebanyak 31 kenderaan termasuk jentolak disita dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar daerah Cameron Highlands di sini.

Iklan
Iklan

Operasi khas selama dua hari bermula Rabu lalu turut mengambil tindakan terhadap 20 lelaki warganegara Pakistan, Bangladesh, India dan Nepal berusia 30 hingga 50 tahun yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu, seorang warga asing telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas didapati gagal mengemukakan dokumen sah untuk diambil tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Iklan

Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, operasi tersebut tertumpu kepada warga asing yang memandu tanpa memiliki lesen yang sah, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada teknikal kenderaan dan keselamatan yang berisiko berlakunya kemalangan.

Iklan

"Dalam operasi ini, sebanyak 204 kenderaan telah diperiksa yang mana 31 kenderaan termasuk tiga motosikal, kereta (1), pikap (11), lori (13), jentolak (1) dan dua van di sita.

"Selain itu, 138 notis pelbagai kesalahan antaranya tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada lesen vokasional dan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dikeluarkan kepada 75 pemandu termasuk 46 warga asing serta 63 pemilik," katanya.

Sebanyak 31 kenderaan pelbagai jenis disita dalam Operasi PeWA di Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Operasi PeWA dan Pelanjutan Pengurangan Kadar Bayaran Fi LKM di JPJ Cawangan Cameron Highlands di sini pada Khamis.

Aedy Fadly berkata, ramai rakyat tempatan di daerah ini mengambil ringan terhadap undang-undang dengan membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen sehingga merisikokan pengguna jalan raya lain.

"Jalan raya di Cameron Highlands agak berisiko dan kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku sekiranya berlaku kemalangan.

"JPJ sentiasa melaksanakan operasi sebagai peringatkan kepada pemilik kenderaan agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan warga asing yang tidak memiliki lesen sah memandu kenderaan kerana akan mengakibatkan risiko bukan sahaja kepada pengguna jalan raya malah pemandu itu sendiri," katanya.

Tambah beliau, pihaknya bercadang untuk menarik kembali pengurangan fi LKM bagi kenderaan di Cameron Highlands jika didapati melanggar kesalahan.

"Sekiranya ada keperluan mana-mana pemilik yang disabitkan kesalahan, mungkin kita akan ambil tindakan.

"Perkara itu bagaimanapun masih diteliti dan belum ada apa-apa keputusan terrhadap perkara itu," katanya.