Meraih tenang sebelum tidur, Ustazah Asma’ kongsi 10 amalan sunnah

Iklan
MENGAMALKAN sunnah yang diajarkan Rasulullah SAW dapat memberi ketenangan yang menatijahkan tidur yang nyenyak. Foto CANVA

SEHARI suntuk bekerja, sememangnya memenatkan fizikal dan mental kita. Tambahan lagi perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja yang perlu menempuh kesesakan lalu lintas.

Itu belum dicampur dengan masalah yang perlu dihadapi sama ada melibatkan kerja, diri sendiri mahupun ahli keluarga serta sahabat handai.

Iklan
Iklan

Kadangkala pelbagai perkara yang bermain di minda menyebabkan keresahan dan kesukaran untuk melelapkan mata, apatah lagi memikirkan apa lagi yang bakal dihadapi esoknya.

Ingatlah, jika setiap hari kekusutan minda itu tidak dihadapi dan ditangani dengan baik, kelak boleh memberi kesan kepada kesihatan mental pula.

Iklan

Bagi meredakan kegelisahan jiwa dan meraih ketenangan, pendakwah Ustazah Asma’ Harun tampil berkongsi 10 amalan harian yang boleh dilakukan sebelum tidur.

USTAZAH ASMA'

Iklan

Amalan yang dikongsikan beliau dikutip dari amalan Nabi Muhammad SAW berdasarkan hadis-hadis Baginda.

10 amalan bagi meraih ketenangan dan diringankan beban adalah seperti berikut:

1 – Berwuduk.

2 – Bersihkan tempat tidur.

3 – Perbanyakkan istighfar.

4 – Membaca surah al-Mulk.

5 – Membaca tiga Qul (Surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas).

Aisyah RA berkata: "Sesungguhnya Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam, Baginda akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada kedua-dua tapak tangannya lalu Baginda membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas. Kemudian Baginda menyapu muka dan bahagian badan sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

TIDUR mengiring di atas lambung kanan merupakan sunnah Rasulullah SAW di samping baik untuk kesihatan diri. Foto CANVA

6 – Zikir Fatimah.

Ali bin Abi Talib RA menceritakan kisah isterinya, Fatimah RA yang meminta diberi pembantu atau hamba, Rasulullah SAW bersabda:

"Mahukah kamu berdua jika aku tunjukkan kepada sesuatu yang lebih baik daripada seorang pembantu? Jika kamu berdua hendak tidur, ucapkanlah takbir 33 kali, tasbih 33 kali dan tahmid 33 kali. Maka ini adalah lebih baik daripada seorang pembantu.”

Selepas kejadian itu, Ali RA berkata:"Aku tidak pernah meninggalkan amalan itu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

7 – Tidur mengiring ke kanan.

Al-Bara’ bin ‘Azib meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kanan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

8 – Membaca doa tidur.

"Ya Allah, dengan nama-MU aku hidup dan aku mati.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

9 – Membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah.

Nabi Muhammad SAW mengajarkan umatnya agar membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah berdasarkan sabdanya yang diriwayatkan Abu Hurairah RA:

"Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

TIDUR yang nyenyak memberikan semangat untuk bekerja lebih cemerlang selain menjalani hidup yang lebih baik. Foto CANVA

10 – Membaca ayat Kursi.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu meletakkan belakangmu pada tempat tidur, maka bacalah ayat Kursi. Maka sesungguhnya penjagaan ALLAH sentiasa atas kamu dan syaitan tidak akan mengampiri kamu sehingga waktu Subuh.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)