Gesa pertimbang lanjut had usia Puteri UMNO

Iklan
Sebahagian perwakilan Pergerakan Puteri UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Tun Razak, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pucuk pimpinan tertinggi UMNO digesa untuk mempertimbangkan cadangan melanjutkan had usia penyertaan sebagai ahli Puteri parti daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

Perwakilan Negeri Sembilan, Hazratul Ilani Misdar berkata, ia susulan timbul pertikaian antaranya tidak matang dan tiada pengalaman jika meletakkan calon daripada sayap berkenaan bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Iklan
Iklan

"Dalam hal ini, jika had umur itu dinaikkan (kepada 40 tahun) sudah pasti ia akan menjadikan calon-calon Puteri UMNO ini daripada kalangan pemimpin yang ada kematangan dan bersedia untuk diangkat sebagai yang berhormat.

"Ini bukan sahaja memperkukuhkan barisan kepimpinan Puteri malah memberi ruang untuk lebih ramai wanita muda mengasah bakat kepimpinan mereka sebelum melangkah ke sayap Wanita UMNO,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Hazratul Ilani yang juga Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan turut menggesa agar had usia ketua sayap tersebut juga ditingkatkan bagi tujuan memberi peluang kepada mereka meraih lebih banyak kejayaan.

Iklan

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa media sosial memainkan peranan dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Kemenangan BN dalam PRU16 bergantung sebanyak 50 ke 60 peratus kepada pengaruh media sosial. Oleh itu, kita perlu bijak menggunakan platform tersebut dan menepis segala dakwaan yang tidak benar.

"Bukan itu sahaja, media sosial juga perlu dijadikan sebagai medan untuk menonjolkan hasil kerja wakil-wakil rakyat UMNO dan BN kerana ia sangat berpengaruh maka kita harus memanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.

Tambah Hazratul Ilani, UMNO perlu memperhalusi kaedah terbaik dalam menangani masalah ketandusan kepimpinan wanita muda dalam sayap berkenaan.

Jelas beliau, wanita muda merupakan aset penting dalam parti dan jika tidak ditangani dengan sebaik, ia akan memberi kesan terhadap masa hadapan UMNO.

Justeru, Hazratul Ilani menyarankan agar ahli sayap berkenaan bersama-sama mencari jalan terbaik bagi menarik lebih ramai wanita muda berbakat menyertai Puteri UMNO di samping memberi peluang kepada mereka untuk memimpin.

"Kita perlu mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan keahlian Puteri UMNO. Kita mesti mempergiatkan usaha untuk menarik lebih ramai wanita muda menyertai sayap ini.

"Ini adalah satu tugasan penting yang memerlukan komitmen dan usaha berterusan daripada semua kerana ia akan memberi kekuatan tambahan kepada Puteri UMNO dalam menjalankan agenda parti,” kata Hazratul Ilani.