‘Rasuah umpama dapat harta dari sumber mencuri’ - Zainal Adnan

Iklan
Rasuah umpama dapat harta dari sumber mencuri - Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Masyarakat di negara ini perlu diberikan kesedaran dan peringatan bahawa jenayah rasuah diibaratkan seperti memperoleh harta daripada sumber mencuri atau menipu.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, rasuah berlaku apabila individu atau kumpulan terlibat mengkhianati sesuatu kepercayaan dan amanah antara satu sama lain.

Iklan
Iklan

Justeru menurutnya, kesedaran perlu dimulakan dalam kalangan anak muda dengan nasihat bahawa hidup berpandukan sumber yang haram seperti rasuah tidak memberi keberkatan kepada peribadi dan keluarga.

"Mendidik anak-anak muda mengenai gejala rasuah merupakan satu perkara yang penting dan perlu dibuat secara istiqamah.

Iklan

"Mereka merupakan bakal pemimpin pada masa hadapan, kegagalan melahirkan golongan anak muda yang membenci rasuah hanya menempah kerosakan sistem nilai tamadun.

"Usaha gigih dan berterusan perlu ada, semoga mesej disampaikan lambat laun dapat diterima oleh mereka. Kita perlu lahirkan pimpinan anak muda yang kebal serta tidak mudah terpengaruh dengan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Zainal Adnan memaklumkan, gejala rasuah sekarang sudah jauh menyerap masuk dalam ekosistem masyarakat dan menjadi budaya bagi sesetengah pihak.

Tambah beliau, sekiranya tidak dibanteras, ia mampu memberi kemusnahan kepada sistem dan nilai kemanusiaan sejagat.

"Dalam al-Quran ada dinyatakan supaya ada antara kalangan umat Islam menyeru kepada kebaikan iaitu ‘amar makruf nahi mungkar’.

"Rasuah merupakan salah satu dari perbuatan mungkar dan menjadi tugas bersama seluruh umat Islam untuk menjauhinya serta turun padang berkempen bagi memberi kesedaran buat yang lain juga.

"Mesej mengenai gejala rasuah memerlukan komitmen berterusan dari pelbagai pihak,” ujarnya.