Hilang tempat bergantung

Iklan
Econsave hadir menyampaikan sumbangan Dana Econsave Prihatin bernilai RM1,000.

BALING - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang dipikul seorang warga emas akibat berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk kabur penglihatan selain hilang tempat bergantung.

Hashim Lahman 71, dari Kampung Bok Bak, Kupang, bukan sahaja kematian isteri sekian lama, namun anak dan menantu turut mempunyai masalah kesihatan masing-masing.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, menantunya, Mohd Zaki Md Isa, 38, merupakan tempat bergantung harap bagi menyara keluarga, namun sejak disahkan menghidap penyakit buah pinggang, pergerakannya terbatas selain perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, anak pertama Hashim, Che Meh, 44, menghidap kanser mulut dan sedang menjalani rawatan kimoterapi.

Iklan

"Anak kedua, Siti Hajar, 41, pula bisu manakala anak ketiga, Norsiah, 35, menghidap bengkak hati, kencing manis dan paru-paru berair.

"Mohd Zaki yang merupakan suami Norsiah sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan, tidak berupaya lagi bekerja kerana perlu jalani dialisis,"katanya ketika melawat keluarga berkenaan pada Selasa.

Iklan

Hadir sama Pengurus Econsave Cawangan Baling, Sarudin Shaari dan Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisham.

Dalam pada itu, Hashim juga dikatakan memiliki seorang cucu juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Tersentuh dengan penderitaan keluarga tersebut, Econsave Baling mengorak langkah menghulurkan sumbangan Dana Econsave Prihatin.

"Sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti beras, gula, sardin, minyak masak, susu, biskut, lampin pakai buang serta barangan keperluan yang lain bernilai keseluruhan RM1,000.

"Adalah diharapkan agar sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan keluarga Hashim dan memberi semangat kepada mereka bagi meneruskan kehidupan," katanya.