BANK Rakyat memperkenalkan platform membeli-belah tanpa tunai sepanjang Ekspo Pelancongan dan Makanan Halal selama lima hari bermula 21 hingga 25 Ogos yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, seramai 10,000 pengunjung disasarkan akan hadir ke pameran berkenaan dengan menampilkan lebih 150 agensi pelancongan dan perniagaan halal terkemuka.
"Kemudahan kad kredit Bank Rakyat untuk pelancong dan mereka boleh memohon kemudahan berkenaan sepanjang ekspo ini atau pada hari-hari biasa.
"Inisiatif ini menggalakkan rakyat Malaysia melancong dan berbelanja di dalam negara kita khususnya dalam sektor pelancongan berasaskan makanan halal dalam negara sendiri.
"Saya yakin dengan ekspo ini dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada pembangunan sektor pelancongan,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ekspo Pelancongan and Makanan Halal di Menara Kembar Bank Rakyat.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Ramanan Ramakrishnan dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Mengulas lanjut, Ewon turut meminta usahawan tempatan menerokai potensi baharu dalam memajukan sektor pelancongan dan makanan halal dalam negara.
Menurutnya, ekspo tersebut merupakan platform terbaik kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan jalinan perniagaan.
"Ia turut memberi peluang kepada pemain industri dan masyarakat untuk meneroka produk pelancongan yang ditawarkan dengan promosi menarik, sekali gus merancakkan industri pelancongan tempatan," ujarnya.