BEIJING - China menggesa warganegaranya meninggalkan Lubnan 'secepat mungkin' menurut kenyataan kedutaan selepas sehari Israel membunuh seorang anggota kanan Fatah.
"Baru-baru ini keadaan di sempadan Lubnan-Israel semakin tegang dan keadaan keselamatan di Lubnan semakin tidak terkawal.
"Tahap risiko semasa untuk mengembara di Selatan Lubnan dan Nabatieh berapa pada tahap merah atau sangat berisiko tinggi dan di kawasan lain adalah jingga atau berisiko tinggi," menurut kedutaan China di Beirut.
Kenyataan itu turut menasihatkan warga China di Lubnan supaya mengambil penerbangan komersial untuk pulang ke tanah air atau meninggalkan negara itu secepat mungkin.
Serangan Israel di Lubnan pada Rabu membunuh Khalil Maqdah, yang disifatkan oleh pergerakan Fatah Palestin sebagai salah seorang daripada pemimpin sayap bersenjatanya di negara itu.
Serangan itu membawa kepada dakwaan Fatah bahawa Israel cuba mencetuskan perang serantau.
Ia juga berlaku beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken menamatkan lawatan ke Timur Tengah yang bertujuan mencapai gencatan senjata dalam perang Israel-Hamas di Gaza.
Pembunuhan Khalil menandakan kali pertama Israel menyasarkan anggota kanan Fatah dalam lebih 10 bulan pertempuran rentas sempadan dengan kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan. - AFP