Sukma 2024: Johor tamat penantian 30 tahun ragbi lelaki

Iklan
Pasukan Ragbi lelaki Johor meraikan kejayaan setelah berjaya menggondol pingat emas dalam acara akhir ragbi tujuh sebelah pada temasya Sukma Sarawak 2024 di Stadium Miri pada Khamis. Foto Bernama

JOHOR menamatkan penantian 30 tahun muncul juara ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2024 selepas membelasah Terengganu 29-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Miri pada Khamis.

Johor yang dibimbing Mohd Saizul Hafifi Md Noor tampil agresif untuk memberi tekanan sebaik wisel ditiup dengan meraih dua try daripada Luqmanul Hakim Ramli sebelum kapten pasukan, Adam Abdulan melengkapkan satu conversion.

Iklan
Iklan

Adam turut membuat satu try diikuti Ahmad Hamka Ilham Ahmad Zamani pada separuh masa pertama.

Babak kedua perlawanan, Muhammad Syafiq Wahid memastikan Terengganu terus terpaku selepas memperoleh satu try sebelum Muhammad Zalwan Mohd Yusof tampil menyempurnakan conversion.

Iklan

Kali terakhir Johor muncul juara adalah pada edisi 1994 di Perak yang ketika itu mempertandingkan ragbi 10 sebelah (10s).

"Bila Johor bagi peluang untuk saya pada 2023 kendalikan skuad, saya anggap ini adalah satu tugas berat tambahan pula dapat tahu kali terakhir mereka meraih emas pada 1994.

Iklan

"Satu rezeki sebab kita dah jumpa Terengganu banyak kali dan meraih mata yang tidak jauh mana dengan mereka. Tapi saya nasihatkan para pemain ini adalah perlawanan terakhir jadi bagilah yang terbaik," kata Mohd Saizul Hafifi ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Selangor pula muncul juara kategori wanita selepas mengecewakan tuan rumah 12-7 sekali gus menebus kekecewaan pingat perak pada edisi lepas di Kuala Lumpur. - Bernama