Kes dera, liwat pelajar di Merbok, lima individu ditahan

Iklan
Semalam tular satu video dakwaan pemilik akaun TikTok mendakwa berlaku kes penderaan fizikal dan seksual ke atas pelajar pusat tahfiz berkenaan. Gambar hiasan

SUNGAI PETANI - Seramai lima individu ditahan bagi membantu siasatan kes pelajar sebuah maahad tahfiz di Merbok dekat sini yang mendakwa didera dan diliwat ketika berada di pusat pengajian itu, Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan dan tindakan susulan telah dibuat.

Iklan
Iklan

"Kita menahan empat individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat atau persetubuhan luar tabii.

"Seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001. Bagaimanapun semua mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Iklan

"Polis masih meneruskan siasatan dan pengurusan pusat pengajian itu turut dipanggil bagi memberi keterangan," katanya ketika dihubungi Awani pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Datuk Mohd Azam Abd Samat berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun katanya, kes terbabit diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Saya dimaklumkan Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bahawa mereka sudah pergi melakukan siasatan di maahad tahfiz berkenaan mengikut bidang kuasa jabatan.

"JHEAIK dimaklumkan ibu bapa pelajar turut membuat laporan polis, jadi pihak jabatan tak boleh campur tangan kerana ia dalam siasatan polis," katanya ketika dihubungi.

Pada Rabu tular satu video dakwaan pemilik akaun TikTok mendakwa berlaku kes penderaan fizikal dan seksual ke atas pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Video terbabit turut mendakwa terdapat pelajar yang kurus kering kerana tidak diberi makan dengan cukup selepas belajar di pusat tahfiz itu.

Pemilik akaun itu turut mendakwa pelajar dibuli dan didera fizikal serta mental selain dilarang untuk mengadu kepada ibu bapa, sehingga ada yang perlu menjalani rawatan psikiatri.

Dalam paparan video itu juga, pemilik akaun mendakwa laporan terhadap JHEAIK sudah dilakukan namun tiada sebarang tindakan diambil.

Gambar pelajar yang mengalami kecederaan di kaki dan dirawat di hospital turut dikongsi dalam video berkenaan, selain terdapat gambar kesan kegatalan pada kulit tangan dan kaki serta pelajar yang kurus. - Awani