Remaja lemas ketika mandi sungai bersama rakan

Iklan
Pasukan penyelamat di lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja. Foto JBPM Terengganu

KUALA NERUS - Kegembiraan tujuh sekawan mandi di Sungai Terengganu di Kampung Batin di Seberang Takir dekat sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas petang tadi.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Muhammad Hafiz Mohd Nor berkata, dalam kejadian kira-kira 4.05 petang itu, mangsa Nor Danish Hafidz Nor Azman, 15, dikatakan mandi di sungai terbabit setelah pulang dari sekolah bersama rakan-rakannya.

Iklan
Iklan

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.22 petang dan sampai ke lokasi kejadian pada 4.29 petang dengan kekuatan enam anggota dari BBP Kuala Terengganu dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta empat jentera termasuk FRT (Fire Rescue Tender).

Pasukan penyelamat melakukan selaman untuk mencari mangsa. Foto JBPM Terengganu

"Mayat mangsa ditemukan pada 5.40 petang setelah pasukan penyelamat melakukan selaman pertama pada 5.35 petang, pada jarak 50 meter dari tebing dan kedalaman tiga meter di dasar sungai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Iklan

Beliau berkata, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak setelah pulang dari sekolah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Iklan

Dalam pada itu, rakan mangsa, Muhammad Farid Ashraf Faizul, 15, berkata, kejadian berlaku apabila Nor Danish Hafidz berjalan di atas sebuah tongkang yang berlabuh di tepi sungai, sebelum dia terjun ke sungai dan kemudiannya dipercayai mengalami kekejangan kaki.

Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa yang lemas di Sungai Terengganu di Kampung Batin, Seberang Takir pada Khamis. Foto JBPM Terengganu

"Tiba-tiba dia dilihat seperti mengalami kekejangan kaki dan tangannya terkapai-kapai, jadi saya pun turun ke sungai untuk cuba menyelamatkannya, namun saya tidak cukup nafas dan terpaksa kembali semula ke tebing. Selepas itu, seorang kawan kami terus memanggil orang kampung untuk meminta bantuan," katanya.

Remaja itu berkata semalam, Nor Danish Hafidz yang tinggal di Taman Permint Perdana Fasa Dua di Kampung Batin dekat sini turut mandi di lokasi sama dan hampir lemas, namun terselamat.

"Tetapi, hari ini dia (mangsa) sekali lagi ingin mandi di sungai itu dan katanya hendak mandi untuk kali terakhir," katanya.