KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kelihatan sebak ketika istiadat merenjis anakandanya,Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Momen itu dirakam selepas istiadat Akad Nikah Tengku Puteri Raja dengan suaminya, FD Idzham FD Iskandar di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz selesai.
Tunku Azizah tidak dapat menahan sebak dan beberapa kali mencium pipi, dahi serta memeluk puterinya ketika berada di atas mahligai pelamin tersebut.
Baginda turut menyentuh bahu FD Idzham, dan menitipkan pesanan sebelum beredar meninggalkan pasangan diraja tersebut.
Tengku Puteri Afzan dan FD Idzham selamat diijabkabulkan dengan dua kali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah sekitar jam 9 malam, Khamis.
Pasangan diraja itu selamat dinikahkan oleh Mufti Negeri Pahang, Datuk Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim selepas mendapat perkenan Sultan Pahang.
Istiadat bersejarah itu disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan di Tasik Kotasas.
Majlis turut dihadiri 110 jemputan khas dan istimewa kerabat bergelar, ahli keluarga dan teman rapat.
Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Utama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung selama tiga hari iaitu 22, 23 dan 25 Ogos ini.
Majlis akad nikah akan diikuti berinai Jumaat ini dan bersanding pada Ahad.